Ibu durjana paksa dua anak makan najis anjing
Agensi
Ogos 27, 2019 05:54 MYT
Ogos 27, 2019 05:54 MYT
Ibu manakah yang sanggup melihat anak sendiri kelaparan?
Lain pula kisah seorang ibu yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun tujuh bulan atas kesalahan memaksa dua anaknya makan najis anjing peliharaan dalam kejadian di Miami, Oklahoma, Amerika Syarikat.
Mary Elizabeth Moore didapati bersalah dan terbukti dengan sengaja melakukan perbuatan keji itu kepada anaknya yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun.
Wanita berusia 34 tahun itu ditangkap petugas di kediamannya, sementara kedua-dua anaknya ditemukan dalam keadaan kekurangan zat sebelum dikejarkan ke hospital.
Lebih menyayat hati apabila kanak-kanak malang itu terpaksa menelan makanan melalui tiub.
Anak pertama Moore yang baru berusia lima tahun ditemukan hanya memiliki berat badan 11.8 kilogram (kg) manakala anak keduanya yang berusia tiga tahun dengan berat badan 8 kg.
Menurut laporan tulsaworld.com, anak pertama Moore yang dirahsiakan identitinya mendakwa dia dan adiknya dipaksa memakan najis anjing.
Pengakuan kanak-kanak itu diperkuatkan lagi apabila hasil ujian ke atas kedua-dua mereka menunjukkan adanya parasit cacing dalam organ pencernaan mereka.
Menurut laporan pengadilan, kekasih Moore juga kerap melakukan penganiayaan terhadap anak bongsunya.