Ibu dua anak dinoda lima lelaki, dibakar hidup-hidup

Sinar Harian
Julai 16, 2018 17:47 MYT
Ramai pihak mengkritik parti Bhatatiya Janta (BJP) dan kempen 'Beti Bachao' (Selamatkan anak perempuan kita) yang didakwa gagal memastikan keselamatan golongan wanita di negara itu.
Seorang ibu kepada dua anak diperkosa bergilir-gilir oleh lima lelaki dan turut dibakar hidup-hidup dalam sebuah kuil di Sambhal, Uttar Pradesh.
Akhbar Times of India melaporkan kesemua suspek memecah masuk ke dalam rumah mangsa berusia 35 tahun itu pada jam 2.30 pagi (waktu tempatan) sebelum merogolnya, semalam.
Menurut suami wanita itu, isterinya ada menghubungi talian perkhidmatan kecemasan, namun tiada pihak yang menjawab panggilan itu.
Dia kemudiannya menghantar mesej kepada sepupunya untuk memaklumkan tentang insiden itu. Apabila penyerang itu kembali semula, mereka membawanya ke kuil berhampiran dan membakarnya tanpa perikemanusiaan.
Difahamkan, klip audio daripada panggilan terakhir mangsa akan dijadikan sebagai bahan bukti kes tersebut.
Kesemua suspek tidak berhati perut itu telah dikenal pasti dan turut tinggal di kampung didiami mangsa.
Susulan itu, jurucakap polis, Inspektor Varun Kumar memberitahu, pihak berkuasa kini memburu kesemua lelaki terbabit selepas ia menjadi kes rogol terbaharu didaftarkan di India.
Perkara itu turut mendapat pelbagai reaksi di media sosial yang kecewa dengan sikap tidak ambil peduli kerajaan dan polis dalam mengendalikan kes tersebut.
Ramai pihak mengkritik parti Bhatatiya Janta (BJP) dan kempen 'Beti Bachao' (Selamatkan anak perempuan kita) yang didakwa gagal memastikan keselamatan golongan wanita di negara itu.
Kaji selidik dibuat Yayasan Thomson Reuters pada awal tahun lalu mendapati India dinamakan sebagai negara paling bahaya untuk wanita di mana 106 kes rogol berlaku pada setiap hari. - Agensi
#bergilir-gilir #ibu #India #mangsa #perkosa #rogol #suspek #wanita
;