Ibu di Palestin terpaksa beri anak makan ‘wax’ demi kelangsungan hidup

Ridauddin Daud
Mac 19, 2024 06:00 MYT
Krisis makanan di sana semakin membarah dan meskipun bantuan kemanusiaan sudah mula masuk namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Palestin. - Gambar fail AP
KUALA LUMPUR: Ramadan di Malaysia, setiap tahun dimeriahkan dengan kemunculan pelbagai jenis makanan yang dijual di Bazar Ramadan di seluruh negara.
Besar sungguh nikmatnya kehidupan di negara yang bebas dari ancaman perang, sesuatu yang tidak dirasai jutaan penduduk di Palestin ketika ini.
Krisis makanan di sana semakin membarah dan meskipun bantuan kemanusiaan sudah mula masuk, namun, ia masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di sana.
Mereka kini makan hanya untuk hidup, menyambung nafas dari hari ke hari di sebalik hidup yang penuh ketidaktentuan, entah esok hidup atau tidak.
Lebih menyayat hati, makanan yang selama ini langsung tidak sesuai untuk dimakan turut dimasukkan ke dalam perut mereka, demi kelangsungan hidup.
Sebelum ini ramai sedih apabila mereka terpaksa makan rumput dan makanan haiwan namun kisah diceritakan Pengarah Misi Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM), Nik Marina Hussin lebih menyayat hati.
Tanpa kerelaan, namun demi meneruskan kehidupan, ada ibu yang memberi anaknya makan ‘wax’, cecair yang biasanya digunakan untuk membuang bulu roma di badan.
Menurutnya, dalam ‘wax’ itu ada gula dan gula itulah dimakan mereka untuk sekurang-kurangnya memberi tenaga, membuka mata dan bernafas untuk sehari lagi.
“Jadi dia akan cairkan wax itu dan bagi anak dia makan gula daripada situ. Air gula, yang bercampur dengan bahan kimia.
“Jadi, saya rasa ini memang meruntun hati semua orang. Bayangkan, sampai ke tahap itu kita berikan makanan kepada anak kita. Seperti kita tahu sebelum ini ada yang mula makan rumput, ada juga yang mula makan makanan haiwan.
“Siap ada yang makan makanan keldai tapi bila anda dengar cerita makan wax, itu rasa terdesak yang mereka lalui?
“Maksud saya, jika anda boleh tidur sekarang selepas mengetahui perkara ini, tidur tanpa membantu mereka, saya tak tahu anda manusia jenis apa,” katanya.
Nik Marina berkata, dia mengetahui kisah sedih itu daripada wakil kedutaan Jordan ketika pasukannya sedang membantu membungkus pek makanan untuk dihantar ke Palestin.
Dalam pek makanan itu ada beras, keju, tuna, kekacang dan pelbagai makanan lain namun apabila ditanya makanan apa paling diperlukan rakyat di sana, wakil kedutaan tersebut menjawab: “Gula.”
Jawapan itu mengejutkan mereka pada mulanya namun selepas tahu kisah di sebaliknya, ia ibarat sembilu yang terus menyucuk di hati, pedih sungguh rasanya mengenangkan nasib mereka.
Bagi Nik Marina, kisah seperti itulah membuatkan pasukannya di KHOM bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat yang tertindas di sana.
Jika sebelum ini bantuan banyak disampaikan melalui daratan, bantuan melalui udara yang mula memasuki Palestin merupakan tumpuan KHOM buat masa ini.
Menurutnya, ramai yang ingin membantu, menyampaikan bantuan melalui udara dan ia tidaklah mustahil, asalkan kena pada caranya dan yang paling penting, berhubung dengan Jordan Hashemite Charity Organisation (JHCO).
Mereka yang akan menyerahkan segala permohonan kepada pihak tentera dan semua gerakan itu disokong oleh keduataan dan kerajaan Jordan.
Begitupun, Nik Marina berkata, KHOM amat berterima kasih dengan penderma yang selama ini bersama mereka kerana tanpa penderma, mustahil mereka dapat terus bergerak membantu rakyat Palestin.
“Malah kami pun dari KHOM, tiada cara lain untuk kami berfungsi dan lakukan ini tanpa sokongan daripada penderma kita, tanpa bantuan daripada penderma Malaysia.
“Ia hanya boleh dilaksanakan disebabkan perpaduan untuk membantu penduduk di Gaza. Jadi apabila berlaku, apabila kita mulakan kerja untuk Gaza ini, ia mengambil masa 15 minit ke 30 minit untuk barang bantuan itu sampai.
“Operasi membungkus pek itu tolak ke tepi tapi kita cakap berkaitan sudah pek kemudian naik ke kapal terbang. Memang kita terkejut... memang laju. Itu bermakna penghantaran pantas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI disiarkan Astro AWANI pada Selasa.
Bagi yang ingin menyalurkan bantuan, anda boleh terus melayari laman web rasmi KHOM atau ke media sosial gerakan itu dan cara untuk menderma ada dipaparkan di sana.
Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka.
#Gaza #rejim Zionis #Agenda Awani #Perang Palestin-Israel
;