Ibu bunuh anak OKU, simpan mayat dalam bekas najis kucing
Agensi
Mac 29, 2019 16:25 MYT
Mac 29, 2019 16:25 MYT
Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dirogol dan dibunuh kejam oleh kekasih ibu angkatnya.
Ketika hayatnya, mangsa Grace Packer, 14, terpaksa mengharungi kesengsaraan kerana selain dirogol, dia juga didera dan diracun.
Semua perlakuan keji itu diketahui ibu angkatnya, Sara Packer, 42, namun tidak dipedulikan.
Malah, menurut laporan media tempatan, ibu angkat remaja itu membiarkan saja anaknya dirogol kekasih demi kepuasan dan keseronokan seksual sebelum dibunuh dengan kejam oleh mereka berdua.
Mayat remaja malang itu kemudian disimpan di dalam bekas najis kucing selama beberapa minggu sebelum dikerat kekasih ibu angkatnya, Jacob Sullivan, 44.
Jacob kemudian membuang mayat Grace di kawasan pedalaman di utara Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Perbuatan keji pasangan itu tidak disedari orang ramai kerana mereka berlakon seolah-olah Grace masih hidup.
Sara membuat laporan polis selepas tiga hari kejadian dengan mendakwa Grace melarikan diri selepas mencuri wang tunai berjumlah £240 (kira-kira RM1,300) selepas dihalang berjumpa rakan.
Susulan 'kematian' anak angkatnya, Sara mendapat pampasan insurans Grace yang kelainan upaya sebanyak £2,800 (RM14,950).
Bagaimanapun, rahsia pasangan itu terbongkar apabila mayat Grace ditemukan dua pemburu di kawasan hutan.
Susulan penemuan itu, kedua-dua suspek didakwa atas pertuduhan bunuh dan dijatuhi hukuman mati pada Jumaat.