Ibu bapa trauma, sedih kehilangan ahli keluarga tercinta dalam tragedi di Uthai Sawan

Bernama
Oktober 7, 2022 05:03 MYT
Ahli keluarga mangsa tembakan rambang di sebuah pusat jagaan kanak-kanak menangisi tragedi yang berlaku di Uthai Sawan, timur laut Bangkok, Thailand, 7 Okt 2022. Foto AP
UTHAI SAWAN (Thailand): Ahli keluarga dan saudara mara pada Jumaat dilihat meletakkan bunga ros putih di tangga pusat jagaan kanak-kanak, yang pada Khamis menjadi lokasi kejadian amuk pisau dan senjata api di Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu, kira-kira 500 km ke timur laut Bangkok.
Seramai 37 orang, termasuk 24 kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun, terbunuh dalam serangan oleh seorang bekas anggota polis berusia 34 tahun, insiden tragis yang mengejutkan seluruh dunia.
Ibu bapa yang sedih dan trauma kehilangan anak mereka dalam tragedi itu, berpelukan antara satu sama lain sambil menenangkan hati serta mencari kekuatan.
Panida Prawana masih trauma mengetahui anaknya yang berusia dua tahun adalah antara yang terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai pada Khamis.
Ibu berusia 19 tahun itu bergegas ke pusat jagaan kanak-kanak menaiki motosikal selepas mendengar tentang kejadian itu.
"Sudah terlambat. Setelah tiba, seorang guru memaklumkan anak saya sudah tiada. Dia meninggal dunia.
"Saya balik ke rumah dan menangis sepanjang malam. Saya tidak boleh tidur dan saya tidak lalu makan. Saya terkedu. Saya sangat kecewa," katanya kepada Bernama.
Lelaki yang mengamuk itu yang dilepaskan daripada kesalahan dadah dan menunggu dibicarakan atas satu lagi pertuduhan mengenai dadah, melarikan diri dari tempat kejadian dengan kenderaan. Dia pulang ke rumah lalu membunuh isteri dan anak lelakinya sebelum menembak mati dirinya sendiri.
Polis berkata, kebanyakan daripada 22 kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun itu mati ditikam.
Media tempatan melaporkan bahawa tiga kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan yang terselamat dalam serangan itu, kini dirawat di hospital.
Sementara itu, bedah siasat 37 mayat kejadian amuk itu telah selesai.
Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Opas Karnkawinpong berkata semua jenazah akan diserahkan kepada keluarga dan saudara mara semalam untuk upacara keagamaan.
Ketua polis negara Pol Jen Damrongsak Kittiprapat berkata laporan awal menunjukkan tiada dadah ditemui dalam tubuh lelaki bersenjata itu.
"Tiada pekerjaan, wang dan masalah keluarga mungkin menyebabkan dia tertekan dan melakukan serangan," katanya,
Pada Jumaat, kerajaan mengarahkan bendera dikibarkan setengah tiang sebagai tanda simpati.
Terdahulu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha tiba di sini pada Jumaat dan bertemu keluarga mangsa.
Prayuth juga mengetuai pegawai kerajaan meletakkan bunga di luar pusat asuhan itu.
Beliau juga menziarahi mangsa yang terselamat di hospital tempatan dan mengucap takziah secara peribadi serta menawarkan sokongan moral kepada mereka atas kehilangan orang tersayang.
Beliau mengarahkan semua agensi berkaitan memberi pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka.
Sementara itu, Raja Thailand Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida dijadual melawat Hospital Nong Bua Lam Phu dan Hospital Udon Thani malam ini untuk bertemu mangsa dan ahli keluarga pembunuhan beramai-ramai Khamis.
-- BERNAMA
#Uthai Sawan #pusat jagaan kanak-kanak #tembakan rambang #Thailand
;