Ibu bapa 'galak' berlumba, anak maut kemalangan
Agensi
Julai 17, 2020 10:00 MYT
Julai 17, 2020 10:00 MYT
Seorang bayi lelaki berusia setahun terbunuh dalam satu nahas di Las Vegas, dipercayai berlaku gara-gara ibu bapanya memutuskan untuk 'berlumba' di jalan raya.
Royce Jones maut dalam kejadian yang berlaku 12 Julai lalu, setelah kereta Hyundai Sonata ibunya, Lauren Prescia, merempuh penghadang konkrit pada kelajuan mencecah 200 kilometer sejam.
Royce yang berada di tempat duduk kanak-kanak mati di tempat kejadian, namun ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Rakaman dashcam yang diambil beberapa saat sebelum kejadian menunjukkan kereta milik Prescia, 23 tahun, memecut menghampiri SUV Mercedes berwarna putih yang dipandu Cameron Hubbard-Jones.
Hubbard-Jones, juga 23 tahun, memandu dengan kelajuan yang dianggarkan tidak kurang 150 kilometer sejam.
Pasangan yang sudah bercerai itu dilaporkan membuat temu janji di satu lokasi bagi membincangkan isu hak penjagaan anak.
Prescia yang disahkan memandu dalam keadaan mabuk, ditahan dan hadir ke mahkamah bagi sebutan kes pada Selasa.
Dia menghadapi beberapa tuduhan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kematian, dan penderaan kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian.
Hubbard-Jones pula menghadapi pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
#bayi
#cuai
#di bawah pengaruh alkohol
#Kanak-kanak
#kemalangan
#kematian
#kereta
#Las Vegas
#mahkamah
#maut
#Nahas
#penderaan