Menurut laporan media tempatan yang kemudian disebar luas oleh portal berita antarabngsa seperti BBC dan CNN, itulah yang berlaku di negeri Bihar pada minggu lalu apabila ratusan malah ribuan pelajar sekolah menengah berdepan kemungkinan digantung persekolahan kerana menipu dalam peperiksaan.
Namun, penipuan itu bukan dilakukan sendiri oleh calon peperiksaan tersebut.
Kumpulan ibu bapa dan saudara-mara mereka secara terang-terangan dan bersungguh-sungguh memberikan jawapan kepada calon-calon peperiksaan.
Ada kertas berisi jawapan disampaikan terus dengan tangan, sementara ada pula yang direnyuk dan dicampak ke dalam kelas. Lebih teruk, ada juga ibu bapa yang menjeritkan jawapan untuk didengari anak-anak mereka.
Pihak berkuasa seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa apabila ahli keluarga para pelajar itu sewenang-wenangnya memanjat bangunan sekolah dan berasak-asak di pintu dan tingkap.
Semua itu dilakukan semata-mata untuk menyampaikan kertas yang bertulis jawapan kepada para pelajar di dalam kelas tempat berlangsungnya peperiksaan.
Insiden memalukan itu secara mudah dapat dirakamkan dalam bentuk gambar dan video, malah kini sedang tersebar luas di internet.
Berikut adalah rakaman yang telah menjadi viral di internet:
Perlakuan tidak jujur bukan perkara baru di negara tersebut, tetapi insiden berkenaan disifatkan sebagai suatu yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku sedahsyat itu.
Lebih teruk daripada itu, anggota keselamatan yang ditugaskan mengawal keadaan di bangunan sekolah juga dilihat menerima rasuah daripada ibu bapa agar mereka dilepaskan untuk menyampaikan kertas jawapan kepada anak-anak mereka.
Paparan video Youtube menunjukkan seorang lelaki cuba memujuk anggota keselamatan agar membenarkannya membantu calon peperiksaan. -Sumber YouTube
Menteri Pendidikan Bihar, PK Shahi memberitahu wartawan bahawa para pelajar tidak akan belajar jika mereka secara terus-terusan dibantu ahli keluarga.“Pemerintah hanya boleh menjalankan peperiksaan yang adil, dengan kerjasama ibu bapa, masyarakat dan para pelajar itu sendiri.
“Lebih sejuta pelajar menduduki peperiksaan tersebut di seluruh negeri. Tiga hingga empat orang dilihat membantu setiap pelajar menipu dalam peperiksaan. Ini bermakna sejumlah enam hingga tujuh juta orang terlibat dalam penipuan.
“Adakah semua ini tanggungjawab pemerintah, dan jika begini caranya, bagaimanakah kami hendak mengendalikan peperiksaan yang adil dan saksama?” tanya Shahi.
Dengan populasi lebih 1.2 bilion, kejayaan dalam pendidikan di India disifatkan sebagai pasport penting untuk membebaskan seseorang daripada terus berada dalam kitaran kemiskinan.