Ibu bapa di China boleh mempunyai anak kedua bermula tahun depan
Agensi
Disember 28, 2015 21:37 MYT
Disember 28, 2015 21:37 MYT
Berdepan dengan populasi rakyatnya yang semakin tua, China secara rasmi memansuhkan undang-undang seorang anak bagi setiap pasangan di negara itu.
Pasangan ibu bapa di republik itu kini boleh memiliki anak kedua, namun peraturan tetap membataskan tentang kelahiran tambahan.
Selain usaha itu untuk menyeimbangkan semula populasinya yang semakin ramai orang tua, pemansuhan larangan itu adalah untuk menangani krisis penyusutan jumlah tenaga kerja.
Perubahan yang diumumkan pada Oktober itu oleh parti Komunis yang memerintah negara, akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2016, lapor media tempatan.
Polisi ‘satu pasangan, satu anak’ itu mula diperkenalkan dalam undang-undang China pada tahun 1970-an, yang mengharamkan ibu bapa memiliki anak lebih dari satu dengan tujuan mengawal populasi negara tersebut.
Sesiapa yang melanggar undang-undang itu akan dikenakan denda atau arahan melakukan pengguguran secara paksa.
Bagaimanapun, undang-undang kontroversi itu telah mengakibatkan masalah ketidakseimbangan jantina selain penyusutan jumlah tenaga kerja.