Ibu bapa bersendirian, lawat sekarang; sebelum virus korona paksa berenggang

Razak Chik
Mac 8, 2020 20:45 MYT
Presiden Macron melakukan lawatan mesra warga tua di Perancis. Warga lanjut usia paling terdedah kepada bahaya COVID-19 cepat lawat sebelum terlambat bila tindakan kuarantin diperketat. - Gambar AP
PENULARAN virus korona (COVID-19) yang melanda Eropah tiada tanda reda dan kini timbul keresahan tentang kebajikan warga lanjut usia.
Ini berikutan meningkatnya cadangan mengurung ataupun mengurangkan lawatan bertemu warga tua yang tinggal berasingan mahupun di rumah penjagaan.
Sebelum langkah ini diambil, mereka yang mempunyai ibu bapa atau saudara mara sudah lanjut usia dinasihat melawat secepat mungkin bertanya khabar untuk mengelak kecewa tidak dapat langsung berjumpa.
Perintah berenggang (social distancing) semakin kuat dicanang pelbagai pihak kesihatan di Eropah sebagai langkah utama mengurangkan peluang COVID-19 tersebar apabila bertemu.
Perancis mengambil pendekatan mengurangkan kekerapan lawatan ke rumah penjagaan warga tua bertanya khabar.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi jaminan kebajikan warga lanjut usia negara tetap diberi pehatian tetapi langkah yang diambil dikira wajar berdepan ancaman COVID-19.
Tambah Macron, kehadiran pelawat terutama dalam kalangan mereka yang lebih muda hanya akan membuka ruang meningkatkan penyebaran sebarang kuman dan pada masa ini virus korona.
Di United Kingdom, Perdana Menteri, Boris Johnson menyuarakan kebimbangan terhadap kebajikan warga tua yang berumur 65 tahun ke atas.
Menurutnya, barisan Menteri sedang memikirkan cara paling efektif bagi menentu warga lanjut usia tidak terdedah kepada demam selesema yang kemungkinan membawa maut.
Ini termasuk rancangan meletakkan warga tua di bawah perintah berkurung bersendiri (self isolation) dan mengelak terdedah kepada perhubungan bebas di tempat awam.
Apabila perintah ini berlaku, sebarang interaksi dengan orang luar, termasuk sanak saudara juga turut akan terlarang.
Buat masa ini, pelbagai saranan dikeluarkan pihak berkuasa UK agar kaum keluarga mengambil peluang untuk berhubung, melawat dan bertanya khabar.
Mereka juga disaran mengambil langkah persiapan yang berkaitan perhubungan kekeluargaan sewaktu peluang bertemu masih wujud.
Ini termasuk bertanya khabar jiran terdekat yang juga lanjut usia.
Purata kadar kematian bagi orang awam kalangan pesakit COVID-19 berada pada tahap 1 dan 2 peratus.
Kadar ini meningkat pada kadar 8 peratus bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas dan 15 peratus bagi pesakit berumur 80 ke atas.
Itali - negara Eropah yang paling teruk terjejas COVID-19 menghadapi masalah mempunyai penduduk berumur paling tinggi di dunia selepas Jepun.
Lebih 23 peratus rakyat Itali berumur lebih 65 tahun ke atas.
Purata umur pesakit yang meninggal akibat COVID-19 di Itali berumur lebih 81 tahun.
Majoriti dalam kalangan mereka adalah lelaki dan dalam keadaan lanjut usia, mempunyai pelbagai masalah kesihatan.
#COVID19 #eropah #lanjut usia #Perancis #perintah berenggang #perintah berkurung bersendiri #warga tua
;