ROME: Mahkamah rayuan Itali pada Selasa telah membebaskan ibu dan bapa bekas perdana menteri, Matteo Renzi daripada tuduhan mengeluarkan invois palsu.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah memutuskan bahawa tiada jenayah telah dilakukan, sekali gus disambut penuh lega dan gembira oleh Renzi.

"Selepas bertahun-tahun berjuang, akhirnya ibu bapa saya dibebaskan," kata Renzi dalam satu ciapan di Twitter.

“Saya harap tiada sesiapa perlu melalui apa yang terpaksa dilalui oleh ibu bapa saya, mereka tidak layak dibenci sedemikian. Keadilan berjaya ditegakkan,” katanya lagi.

Renzi mengetuai kerajaan berhaluan tengah dari 2014 hingga 2016, sebelum mengasaskan parti berpusat, Italia Viva.

Pada pilihan raya kebangsaan terakhir pada 25 September lalu, Renzi bekerjasama dengan parti Azione yang diketuai oleh Carlo Calenda dan mendapat kira-kira 8 peratus undi.

Pada 2019, mahkamah rendah mendapati Tiziano Renzi dan Laura Bovoli, yang kedua-duanya berusia 70-an, bersalah kerana mengeluarkan invois palsu berjumlah 160,000 euro (RM741,207) pada 2015 melalui dua syarikat kecil. Mereka dijatuhi hukuman penjara selama setahun sembilan bulan.

Pasangan itu menafikan pertuduhan tersebut dan merayu keputusan itu.

Seorang lagi defendan, ahli perniagaan, Luigi Dagostino, dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana menerima invois palsu.

Mahkamah rayuan bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara kepada sembilan bulan.