Ibu bakar anak dalam 'pembunuhan bermaruah' di Pakistan dihukum mati
Agensi
Januari 17, 2017 10:04 MYT
Januari 17, 2017 10:04 MYT
Mahkamah di Pakistan menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ibu kerana membakar hidup-hidup anaknya yang berkahwin tanpa kebenaran keluarga.
Parveen Bibi mengaku di sebuah mahkamah khas di Lahore, membunuh anak perempuannya pada Jun lalu kerana dia dikatakan "membawa malu kepada keluarga".
Polis berkata, anak wanita itu, Zeenat Rafiq, 18, berkahwin dengan Hassan Khan dan lari dari rumah untuk tinggal bersama keluarga suaminya seminggu sebelum dia dibunuh.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Anees, abang Zeenat, selepas bukti menunjukkan ibunya dan abangnya itu terlebih dahulu memukulnya, sebelum ibunya menuang minyak tanah ke atasnya dan menyalakan api.
Selepas pembunuhan Zeenat, kata polis, tiada saudara-maranya yang tampil menuntut mayatnya.
Keluarga suaminya kemudiannya mengebumikan mayatnya yang rentung di sebuah tanah perkuburan berhampiran bandar itu.
Keganasan terhadap wanita berleluasa di Pakistan, menurut Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Pakistan.
Memetik laporan media, ia berkata, terdapat lebih daripada 1,100 'pembunuhan maruah' pada tahun 2015.
Parlimen Pakistan meluluskan undang-undang menentang 'pembunuhan maruah' pada bulan Oktober, tiga bulan selepas pembunuhan selebriti media sosial yang lantang, Qandeel Baloch.
Seorang adik-beradik lelakinya ditangkap berhubung kes pembunuhan cekik hingga mati pada Julai.