Ibarat Malaysia tiada beras, Lubnan berdepan krisis roti, gandum

Agensi
April 13, 2022 18:03 MYT
Krisis roti kini sedang melanda beberapa bahagian di Lubnan ketika negara kecil Mediterranean itu bergelut dengan kekurangan tepung yang kritikal dan kejatuhan mata wang. - Foto REUTERS
BEIRUT: Bayangkan jika Malaysia tidak mempunyai beras yang mencukupi atau terpaksa dicatu.
Sebagai makanan ruji rakyat Malaysia, sudah tentu ia akan menjejaskan kelangsungan hidup serta perniagaan di negara ini.
Situasi hampir sama kini dialami di Lubnan.
Krisis roti kini sedang melanda beberapa bahagian di Lubnan ketika negara kecil Mediterranean itu bergelut dengan kekurangan tepung yang kritikal dan kejatuhan mata wang.
Bank Pusat Lubnan dilaporkan telah menangguhkan pembayaran import gandum kerana rizab mata wang telah jatuh sejak krisis ekonomi yang bermula pada akhir 2019.
Terdapat kebimbangan bahawa Bank Pusat mungkin menamatkan subsidi gandum yang bakal menyebabkan harga roti meningkat dua kali ganda di negara itu.
Ia akan menjadikan kehidupan kepada lebih 70 peratus isi rumah di negara itu yang kini hidup dalam kemiskinan lebih parah.
Pada Selasa, orang ramai dilihat berdiri beratur di luar kedai roti di Beirut, menunggu giliran untuk mendapatkan roti.
"Saya sampai sini dan roti tak ada. Mereka bagi tahu, saya hanya boleh beli beg kecil.
"Kami ada dua keluarga di rumah, satu keluarga ada tujuh orang.
"Apa makna beg kecil untuk kami semua? Tak ada makna. Mereka menyimpan tepung untuk naikkan harga," kata Aya Tarhini, salah seorang pelanggan.
Sementara itu, pemilik Modern Mills of Lebanon, Bachar Boubes menyifatkan situasi yang dialami ketika ini bukan krisis gandum.
"Gandum ada banyak. Banyak kapal di pelabuhan membawa gandum dan kilang juga penuh dengan gandum.
"Tetapi krisis yang dialami sekarang adalah gandum bersubsidi atau tidak. Krisis ini disebabkan oleh Bank Pusat yang tidak mensubsidi gandum yang dalam kapal itu.
"Jika mereka lakukannya, krisis ini akan berakhir. Ada banyak gandum di negara ini, kilang juga dipenuhi gandum, tapi gandum itu tidak disubsidi," katanya.
Krisis roti di Lubnan ketika ini telah diburukkan lagi dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada akhir Februari yang menjejaskan harga gandum di seluruh dunia.
Ukraine dan Rusia menyumbang satu pertiga daripada eksport gandum dan barli global, yang mana negara-negara di Timur Tengah bergantung tinggi kepada gandum sebagai asas makanan ruji.
Kerajaan Lubnan sedang berbincang dengan negara lain seperti Amerika Syarikat, India dan Kanada untuk menyediakan gandum di tengah-tengah kebimbangan gangguan global terhadap bekalan gandum
Lubnan yang dilanda krisis telah mengalami kekurangan bahan api yang kritikal tahun lalu sehingga Bank Pusat itu menamatkan subsidi pada Ogos.
#krisis roti Lubnan #kekurangan gandum #subsidi #gandum subsidi
;