IAEA dakwa Iran jalankan aktiviti nuklear

Astro Awani
Disember 1, 2021 07:17 MYT
Menurut IAEA, Iran memulakan proses pengayaan uranium menggunakan peralatan lebih canggih. - Foto REUTERS
AGENSI Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mendakwa Iran mula proses pengeluaran uranium diperkaya ke tahap lebih tinggi.
Tindakan ini tegas agensi itu, mencabuli perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015.
Pendedahan ini dibuat ketika Iran dan Amerika Syarikat mengadakan rundingan tidak langsung mengenai masa depan perjanjian berkenaan.
Ia dibimbangi akan menjejaskan usaha untuk memujuk kedua-dua pihak kembali mematuhi perjanjian itu.
Menurut IAEA, Iran memulakan proses pengayaan uranium menggunakan peralatan lebih canggih.
Berdasarkan perjanjian dipersetujui sebelum ini, Iran tidak dibenarkan menjalankan proses tersebut.
Iran dan kuasa dunia lain, kini dalam usaha menghidupkan semula perjanjian nuklear.
Jika ia dipersetujui, sekatan ekonomi ke atas Iran yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan ditarik semula.
Amerika Syarikat umum menarik diri daripada perjanjian tersebut pada 2018, di bawah pentadbiran bekas presiden Donald Trump.
Washington kemudian mengenakan sekatan ketat ke atas Tehran.
Iran sehingga kini mempertahankan program nuklearnya untuk tujuan aman.
#perjanjian nuklear #Iran #IAEA #uranium
;