Hutan di pinggir Baitulmaqdis terbakar

Sinar Harian
Ogos 16, 2021 03:19 MYT
Kebakaran hutan yang berlaku di barat Baitulmaqdis pada Ahad. - Foto Ariel Kedem/Pihak Berkuasa Taman dan Alam Semula Jadi Israel.
BAITULMAQDIS: Penduduk di beberapa buah kampung di pinggir Baitulmaqdis yang dijajah Israel dipindahkan pada Ahad selepas berlakunya satu kebakaran besar hutan, kata polis.
Anggota-anggota bomba dibantu dengan pesawat-pesawat bagi memadamkan kebakaran ketika asap menjulang ke udara akibat kebakaran tersebut.
Seorang jurucakap Perdana Menteri, Naftali Bennett berkata, Bennett mengadakan mesyuarat khas berhubung kebakaran hutan tersebut.
Kebakaran itu mengancam kampung Beit Meir, Shoeva, Kissalon, Guvat Yearim dan Ramat Raziel barat Baitulmaqdis, kata polis dalam satu kenyataan.
Kampung-kampung itu terletak berdekatan sebuah lebuh raya utama yang dihubungkan dengan bandar raya Tel Aviv.
Polis menyatakan penduduk dipindahkan dan beberapa jalan raya disekat.
Ia merupakan kebakaran terbesar di Baitulmaqdis dalam tempoh beberapa tahun, kata ketua agensi bomba tempatan, Nissim Touitou kepada berita televisyen.
Sebelum itu, seorang jurucakap perkhidmatan bomba Baitulmaqdis berkata, angin kuat menyebabkan kebakaran semakin merebak dan menyebabkan anggota-anggota bomba dipanggil untuk membantu memadamkan kebakaran.
Punca kebakaran itu masih tidak lagi diketahui.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#kebakaran #Baitulmaqdis #kebakaran hutan #Asap #bomba #hutan #pesawat #Naftali Bennett #Mesyuarat Khas #lebuh raya utama