Hutan Amazon: Brazil, Colombia sepakat bendung penebangan

Astro Awani
Oktober 20, 2021 11:07 MYT
Seekor burung bangau terbang di udara sambil deretan buaya kelihatan berjemur di tebing sungai Bento Gomes yang hampir kering, di Pantanal, berhampiran Pocone, Mato Grosso, Brazil, 14 Sept, 2020. (Foto AP)
BRAZIL dan Colombia sepakat untuk membendung penebangan dan pencerobohan hutan hujan Amazon.
Negara yang menguasai kawasan terbesar hutan hujan itu menyatakan komitmen melalui rundingan dua hala kedua-dua negara itu.
Turut dibincangkan adalah mengenai perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan aktiviti rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Namun, isu alam sekitar, menyelamatkan hutan Amazon, menjadi topik utama menjelang sidang kemuncak perubahan iklim COP26 di Scotland bulan depan.
Usaha kedua-dua negara itu bukan hanya berkisar tentang peralihan tenaga, tetapi juga untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta mencapai karbon neutral dengan melindungi hutan tropika dan Amazon.
Penebangan hutan Amazon adalah berpunca daripada perlombongan haram, penternakan dan aktiviti lain.
Brazil dan Colombia serta negara serantau lain yang bersempadan dengan hutan hujan itu menerima tekanan kuat daripada masyarakat antarabangsa untuk membendung penebangan hutan dan kegiatan haram.
Sejak mentadbir, Presiden Brazil Jair Bolsonaro dilaporkan telah melemahkan pihak berkuasa alam sekitar dengan mengurangkan dana dan menghukum pekerja yang bersuara.
Terbaharu, beliau berusaha untuk menunjukkan komitmennya kepada alam sekitar setelah berdepan kritikan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan para pelabur.
Pentadbirannya pertama kali mengerahkan tentera pada 2019 ketika kemusnahan Amazon menimbulkan kemarahan global.
#Colombia #Brazil #hutan Amazon #alam sekitar
;