Hungary menambah senarai produk makanan yang dilarang import dari Ukraine
Astro Awani
April 21, 2023 12:10 MYT
April 21, 2023 12:10 MYT
HUNGARY mengumumkan akan menambah madu dan beberapa produk daging ke dalam senarai produk makanan yang dilarang sementara daripada diimport dari Ukraine.
Ia merupakan usaha untuk mengurangkan tekanan pasaran terhadap petani Hungary yang terpaksa bersaing dengan produk keluaran Ukraine.
Menurut Menterinya, Gergely Gulyás, import 25 produk Ukraine termasuk gandum, biji-bijian, tepung, dan minyak masak turut dilarang sehingga 30 Jun.
Langkah ini diambil selepas kerajaan Hungary menyatakan bahawa terdapat kelebihan produk pertanian Ukraine di pasaran Hungary yang telah menjadikan petani Hungary tidak dapat bersaing.
Dalam pada itu, negara-negara seperti Poland, Slovakia dan Bulgaria juga telah mengambil tindakan yang sama dalam beberapa minggu terakhir.
Walau bagaimanapun, pada Rabu, Kesatuan Eropah (EU) memberikan isyarat bahawa mereka bersedia untuk menangani masalah petani di negara-negara yang berdekatan dengan Ukraine.
Kerajaan Hungary juga bertegas akan memantau penghantaran produk yang datang dari negara lain ketika memasuki Hungary bagi memastikan mereka tidak berasal dari Ukraine.