'The Hulk' pertahan rakyat Palestin, bidas Netanyahu label sebagai "kerosakan sampingan"
Hasimi Muhamad
November 13, 2023 11:00 MYT
November 13, 2023 11:00 MYT
BINTANG hollywood, Mark Ruffalo membidas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang melabel rakyat Palestin sebagai "kerosakan sampingan" ketika Israel melancarkan serangan berterusan ke atas Gaza.
Pelakon yang terkenal dengan watak 'The Hulk' itu membela rakyat Palestin dengan menegaskan mereka juga adalah manusia yang 'kebetulan' dilahirkan di negara itu dan kebanyakan terperangkap di Gaza.
"Kasihanilah, mereka adalah rakyat Palestin bukan bangunan atau jalan raya atau benda...
"Mereka adalah manusia dan begitu juga tebusan yang nyawanya mungkin anda (Israel) akan hancurkan. Mereka juga bukan "kerosakan sampingan"," katanya dalam kemas kini di laman X, pada Isnin.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Netanyahu mendakwa, pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin oleh tentera Israel hanyalah bersifat "kerosakan sampingan".
Pemimpin sayap kanan itu yang dilihat muncul dalam banyak media antarabangsa dilihat cuba mengenepikan tanggungjawab dan peranan tentera Israel dalam membunuh rakyat Palestin.
Netanyahu mendakwa, tentera Israel tidak sengaja menyasarkan orang awam, walaupun angka kematian rakyat Palestin semakin meningkat.
Dia juga mengulangi dakwaannya bahawa Hamas bertanggungjawab ke atas korban awam Gaza, di sebalik tindakan Israel melancarkan serangan dari udara, laut serta darat.
"Kami sengaja melakukan segala-galanya untuk menyasarkan pengganas...
"... dan orang awam, seperti yang berlaku dalam setiap peperangan yang sah, kadang-kadang dipanggil "kerosakan cagaran"," dakwa Netanyahu.
Kerosakan sampingan biasanya digunakan dalam konteks tindakan perang, yang mana ia berlaku apabila kemusnahan sasaran tentera disertai dengan kesan sampingan yang tidak dimaksudkan pada asalnya.