Hukuman penjara terhadap Suu Kyi ditambah 7 tahun lagi
Astro Awani
Disember 30, 2022 16:28 MYT
Disember 30, 2022 16:28 MYT
NAYPIDAW, MYANMAR: Mahkamah junta Myanmar di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi, atas lima pertuduhan rasuah.
Keputusan itu sekali gus menamatkan perbicaraan selama 18 bulan ke atas pemenang anugerah Nobel itu berusia 77 tahun itu.
Keputusan mahkamah ini menambah tujuh lagi tahun ke atas hukuman penjara asal 26 tahun yang dijatuhkan pada Disember tahun lepas.
Dalam satu sesi mahkamah tertutup, Suu Kyi, yang ditangkap sewaktu rampasan kuasa kerajaan oleh tentera pada Februari 2021, didapati bersalah atas kesalahan berkaitan pajakan dan penggunaan helikopternya semasa memerintah Myanmar, kata sumber, memetik laporan Reuters.
Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggariskan resolusi untuk menggesa pemimpin tentera Myanmar supaya membebaskan "banduan yang ditahan sewenang-wenangnya" serta menghentikan serangan ke atas orang awam dan menghormati hak asasi manusia.
Pihak tentera Myanmar bagaimanapun, bertegas bahawa perbicaraan terhadap bekas pemimpin itu dilakukan secara adil melalui mahkamah yang bebas.
Sejak Disember 2021, Suu Kyi telah disabitkan dengan kesalahan melanggar sekatan COVID-19 semasa berkempen, memiliki peralatan radio secara haram, menghasut, melanggar undang-undang rahsia negara dan percubaaan mempengaruhi Suruhanjaya Pilihan Raya negara.
Suu Kyi menafikan semua pertuduhan ke atasnya sebagai dakwaan "tidak masuk akal".
Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang merupakan persekutuan kumpulan-kumpulan anti-junta, telah berkata hakim-hakim di mahkamah palsu ini membuat keputusan tanpa bukti dan berdasarkan pembohongan.