Hukuman mati, kembiri untuk tangani rogol kanak-kanak wajar?
Agensi
Mei 26, 2016 23:07 MYT
Mei 26, 2016 23:07 MYT
Presiden Indonesia, Joko Widodo menandatangani surat perintah pengganti undang-undang yang memperkenalkan hukuman mati bagi kesalahan jenayah seksual ke atas kanak-kanak, termasuk hukuman kembiri kepada pesalah, lapor media di Indonesia.
Surat perintah ini akan dikemukakan kepada Parlimen dalam waktu terdekat untuk persetujuan anggota Dewan Perwakilan Rakyat.
Menurut Jokowi, beliau mengeluarkan surat perintah itu susulan peningkatan kekerasan seksual ke atas kanak-kanak yang begitu ketara di Indonesia.
“Perlu kepada cara menangani yang luar biasa kerana (ia) mengancam, membahayakan jiwa dan pertumbuhan anak,” katanya seperti dipetik portal berita CNN Indonesia.
Undang-undang baharu itu memperuntukkan hukuman penjara di antara 10 hingga 20 tahun, hukuman penjara seumur hidup dan hukuman mati.
Ia juga memperuntukkan hukuman kembiri secara kimia, pendedahan identiti serta pemasangan alat pengesan elektronik pada pesalah.
Hukuman kembiri: Netizen Indonesia berbeza pendapat
Keputusan Jokowi mendapat perhatian rakyat Indonesia, terutama berkenaan hukuman kembiri ke atas pesalah seksual.
Kebanyakan netizen menganggap hukuman tersebut setimpal dengan jenayah seksual dan mampu menjadi peringatan.
Namun, terdapat juga netizen yang menyifatkan kembiri secara kimia sebagai hukuman yang ringan dan perlu diganti dengan hukuman lebih berat seperti hukuman mati.