Hukuman berat terhadap dalang manipulasi pasaran saham, bukti Singapura jaga reputasi
Bernama
Disember 28, 2022 04:30 MYT
Disember 28, 2022 04:30 MYT
SINGAPURA: Hukuman berat yang dijatuhkan kepada dalang di sebalik manipulasi pasaran saham terbesar Singapura adalah bukti jelas keazaman pihak berkuasa bertindak terhadap salah laku dan menjaga reputasi pulau itu sebagai pusat kewangan antarabangsa.
Hal ini dinyatakan dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berhubung hukuman terhadap ahli perniagaan Malaysia Soh Chee Wen dan Quah Su-Ling oleh Mahkamah Tinggi republik itu pada Rabu.
Pendakwaan memohon agar mahkamah mengenakan hukuman penjara 40 tahun ke atas Soh dan 19 tahun setengah terhadap Quah.
Quah dan Soh didapati bersalah memanipulasi harga saham Kumpulan Blumont, Asiasons serta LionGold antara Ogos 2012 hingga Oktober 2013 dan menipu dua institusi kewangan.
"Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan meruntuhkan sistem keadilan jenayah kami.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pengawal selia untuk menjaga reputasi Singapura sebagai pusat kewangan antarabangsa," kata Ketua Pendakwa Tan Kiat Pheng.
Soh dan Quah, masing-masing disabitkan dengan 180 dan 169 pertuduhan selepas perbicaraan kes mereka.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) SPF David Chew berkata jabatan itu memandang serius perbuatan memanipulasi pasaran saham kerana ia menjejaskan integriti pasaran modal Singapura.
"Demi melindungi integriti pasaran modal kita, pihak berkuasa akan menjejaki dan mendakwa penjenayah yang memanipulasi pasaran modal atau bersekongkol dengan individu berkenaan," kata Chew.
Kenyataan bersama itu juga menyatakan bahawa Soh dan Quah masing-masing akan memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan, kecuali Soh tidak akan merayu terhadap sabitan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 148 Akta Syarikat.
Pertuduhan di bawah Seksyen 148 Akta Syarikat adalah berkaitan dengan "pengurusan Blumont, Asiasons, dan LionGold," menurut kenyataan itu.
"Skim itu didalangi pesalah untuk memanipulasi saham yang disenaraikan di SGX sehingga membawa kepada kerugian besar dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap integriti pasaran modal Singapura," kata Penolong Pengarah Urusan, Pembayaran Polisi dan Jenayah Kewangan MAS, Loo Siew Yee.
MAS akan terus bekerjasama dengan AGC, CAD dan pihak industri untuk mengesan, menghalang dan mendakwa pelaku selaras dengan objektif bagi memastikan pasaran modal republik itu kekal adil, teratur dan telus.
-- BERNAMA