Hujan monsun mungkin lewatkan usaha menyelamat kanak-kanak dalam gua - Gabenor
Agensi
Julai 7, 2018 15:51 MYT
Julai 7, 2018 15:51 MYT
Pasukan penyelamat tidak akan dapat mengeluarkan 12 remaja lelaki dari pasukan bola sepak yang terperangkap dalam gua di sini, sebelum musim hujan monsun yang dijangka bermula dalam masa sehari dua hari lagi, menurut pihak berkuasa Thailand.
Gabenor wilayah Chiang Rai, Narongsak Osatanakorn berkata pasukan penyelamat cuba untuk mengeluarkan kanak-kanak tersebut dan jurulatih mereka, Ekapol Chantawong, 25 tahun, sebelum musim hujan tiba, namun perlu terlebih dahulu memastikan risiko terhadap anggota penyelamat dapat dikurangkan.
“Jika kami berdepan hujan lebat, kami terpaksa mengeluarkan kanak-kanak tersebut,” jelasnya sewaktu memberi taklimat lewat malam pada Jumaat.
“Namun, jika situasi dalam gua stabil sekalipun, kami perlu menunggu sehingga risiko keselamatan pasukan dapat dikurangkan sebelum membawa mereka keluar.”
Jelasnya, ibu bapa kanak-kanak yang terperangkap telah menulis surat kepada anak-anak mereka dan pasukan penyelamat telah pun menyerahkan surat-surat yang mengandungi ayat-ayat motivasi itu kepada mangsa yang terperangkap sejauh 3.2 kilometer dalam gua selama dua minggu.
Tambahnya, pelan asal untuk mengiring kanak-kanak itu berenang keluar dari gua yang sempit dan berlumpur itu terpaksa dihentikan di atas nasihat pasukan penyelam.
Pada Jumaat, pihak berkuasa tempatan telah memberi amaran bahawa tahap oksigen dalam gua itu telah menurun sehingga tahap 15 peratus berbanding tahap normal pada 21 peratus.
“Kami agak gusar dengan keadaan cuaca sekarang dan tahap oksigen di dalam gua namun kami harus terus mencari kaedah terbaik untuk mengeluarkan mereka dari gua tersebut,” jelas Osatanakorn.
Kanak-kanak berumur dari 11 tahun hingga 16 tahun itu kini dilatih untuk bernafas menggunakan topeng muka skuba namun mereka masih belum bersedia untuk menempuh perjalanan keluar dari gua dengan menyelam.
Walaupun paras air dalam gua telah surut kesan dari usaha pasukan penyelamat yang mengepam air keluar, mereka masih perlu berenang dan menggunakan bantuan alat pernafasan di sesetengah ceruk sempit.
“Mereka masih belum bersedia untuk menyelam keluar dari gua. Walaubagaimanapun, paras air dalam gua tempat mereka berada kini dalam tahap yang selamat, jadi mereka boleh berjalan di dalamnya,” jelasnya.
Salah seorang anggota pasukan penyelamat, Samarn Poonan, 38 tahun, yang merupakan seorang bekas pegawai tentera laut Thailand, meninggal dunia pada Khamis kerana tidak mendapat bekalan oksigen mencukupi sewaktu menghantar tong bekalan oksigen kepada mangsa.
Mayat Samarn, yang merupakan mangsa pertama yang meninggal dunia dalam insiden ini, sudah dihantar ke Bangkok untuk urusan dan sebuah majlis pengebumian diraja dijalankan untuknya pada Jumaat.
Kanak-kanak dan jurulatih mereka yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu akhirnya ditemui pasukan pencari dan menyelamat pada Isnin lalu. Hujan musim monsun dijangka melanda Thailand bermula Sabtu dan berkemungkinan akan melambatkan lagi usaha menyelamatkan mangsa.
Insiden tersebut turut mendapat perhatian dunia termasuk penganjur Piala Dunia yang menghantar jemputan khas kepada kanak-kanak yang terperangkap untuk menghadiri perlawanan akhir jika mereka dapat diselamatkan sebelum tarikh perlawanan.
Sementara itu, pengusaha teknologi terkenal Elon Musk turut menawarkan khidmat bantuan dengan menghantar pakar-pakar dari syarikatnya, SpaceX dan Boring, untuk membantu pihak berkuasa Thailand mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
#banjir
#bola sepak
#Chiang Rai
#Elon Musk
#Gua
#mangsa
#Pasukan
#Piala Dunia
#Rusia
#Space X
#terperangkap
#Thailand