Hujan lebat jejaskan perkhidmatan kereta api laju Shinkansen Jepun, 139,000 penumpang

Bernama
November 3, 2024 14:36 MYT
Pada Sabtu, hujan lebat menjejaskan semua perkhidmatan Shinkansen antara Hakata dan Tokyo. - Gambar fail
TOKYO: Sebanyak 88 perkhidmatan kereta api laju Sanyo Shinkansen dibatalkan manakala 229 perkhidmatan ditangguhkan sehingga enam jam, menjejaskan kira-kira 139,300 penumpang pada Sabtu, lapor Agensi Berita Kyodo memetik pengendali JR West.
JR West pada Ahad menyatakan bahawa hujan di beberapa bahagian mencapai tahap maksimum untuk operasi selamat antara Shin-Osaka dan Hakata di barat Jepun pada pagi hari sebelumnya, namun perkhidmatan disambung semula selepas pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan.
Pada Sabtu, hujan lebat menjejaskan semua perkhidmatan shinkansen antara Hakata dan Tokyo, dengan agensi cuaca menggesa orang ramai berwaspada susulan hujan dijangka berterusan sepanjang cuti hujung minggu tiga hari itu.
Agensi Meteorologi Jepun berkata cuaca dijangka bertambah baik pada Ahad, namun masih memberi amaran risiko limpahan sungai dan tanah runtuh.
-- BERNAMA
#kereta api laju Sanyo Shinkansen #perkhidmatan terjejas #Jepun #hujan lebat
;