Hujan lebat halang usaha kutip bangkai gajah
Bernama
Oktober 9, 2019 04:27 MYT
Oktober 9, 2019 04:27 MYT
Hujan lebat menghalang operasi mengutip dan mengumpul bangkai 11 ekor gajah liar yang mati selepas terjatuh ke dalam Air Terjun Haew Narok di Taman Negara Khao Yai di bahagian Tengah Thailand.
Timbalan Pengarah Jabatan Taman Negara, Hidupan LIar dan Pemuliharaan Tumbuhan, Jongkrai Worapongsathorn berkata ranger rimba terus menghadapi kesulitan untuk menghampiri sebahagian daripada bangkai itu ekoran cuaca buruk dan lerengan bukit yang sukar.
"Akibat hujan yang berterusan, pihak ranger hanya berjaya mendapatkan dua bangkai hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ranger taman negara itu kini cuba mendapatkan bangkai-bangkai tersebut dari sungai oleh kerana timbul kebimbangan bangkai itu akan mencemari air sungai.
Jongkrai berkata dua jaring besar dipasang di hiliran air terjun itu bagi memerangkap bangkai tersebut jika ia terapung akibat arus yang kuat.
Pada Sabtu, enam gajah liar, termasuk seekor anak berusia tiga tahun mati setelah terjatuh ke dalam Air Terjun Haew Narok.
Bagaimanapun, sebuah gambar drone mengesan lima lagi bangkai gajah liar di sungai yang sama di mana enam gajah mati sebelum itu.
Pada Sabtu, pihak ranger berjaya menyelamatkan dua ekor gajah itu - ibu dan anaknya. Keadaan kedua-duanya dilaporkan bertambah baik.
Kemalangan serupa berlaku pada 1992 bila lapan ekor gajah dihanyutkan ke air terjun yang sama dan mati.
Taman seluas 2,000 kilometer persegi itu dihuni oleh kira-kira 300 gajah liar dan terletak di Pak Phli dalam daerah Nakhon Nayok. Taman itu meliputi empat daerah - Nakhon Ratchasima, Prachin Buri, Nakhon Nayok dan Saraburi.
-- BERNAMA
#Air Terjun Haew Narok
#bangkai gajah
#gajah liar
#hujan lebat
#Jongkrai Worapongsathorn
#Taman Negara Khao Yai
#terjatuh dalam air terjun