Hujan lebat di China semakin memburuk

Astro Awani
Julai 6, 2024 10:20 MYT
Rakaman CCTV menyiarkan rakaman beberapa jalan yang digenangi air di barat daya wilayah Yunnan. - Foto REUTERS
HUBEI: Hujan lebat yang melanda China mengakibatkan tanah runtuh dan banjir buruk di wilayah Hubei.
Rakaman CCTV turut menunjukkan sebuah jalan di daerah Badong terputus akibat hujan lebat yang melanda wilayah itu, yang terletak di tengah China.
Sementara itu, di wilayah Xianning pula, pasukan penyelamat bertungkus lumus menghantar bekalan dari bot penyelamat kepada penduduk terkandas selain berusaha memindahkan seorang kanak-kanak yang sakit.
Rakaman CCTV juga menyiarkan rakaman beberapa jalan yang digenangi air di barat daya wilayah Yunnan.
Menurut Agensi Ramalan Cuaca, China menghadapi gelombang haba yang lebih panas dan lebih lama serta hujan lebat yang lebih kerap dan tidak dapat diramalkan akibat perubahan iklim.
China pada 29 Jun lalu mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu.
Menurut Agensi Berita Xinhua, amaran juga diberi tentang kemungkinan bencana alam di beberapa kawasan yang terjejas.
Menurut ramalan Pusat Meteorologi Kebangsaan, beberapa kawasan di Anhui, Jiangsu, Hubei, Hunan, Jiangxi dan Guizhou dijangka mengalami hujan lebat, manakala beberapa kawasan lagi dijangka menerima taburan hujan sehingga 280 milimeter dalam tempoh 24 jam sehingga 2 petang Ahad.
Agensi Cuaca Negara itu juga mengeluarkan amaran biru atau tahap amaran terendah di pelbagai wilayah lain termasuk Beijing, Hebei, Inner Mongolia, Hubei, Anhui dan Jiangsu.
Agensi meteorologi tertinggi negara dan Kementerian Sumber Asli memberi amaran bahawa terdapat risiko bencana alam di beberapa kawasan di Anhui dan Hubei, manakala sebahagian wilayah Zhejiang, Jiangxi, Henan, Hunan dan Guizhou juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
#hujan lebat #banjir #tanah runtuh #gelombang haba
;