Hujan emas, hujan batu - Perancis nombor satu
Razak Chik
November 26, 2019 22:19 MYT
November 26, 2019 22:19 MYT
PERIBAHASA ada memberi petunjuk bagaimana mewahnya sesuatu negara yang dilawati, negara sendiri juga yang akhirnya menjadi pilihan tetap di hati.
Namun, ini tidak bermakna banyak ciri-ciri kesempurnaan, kemewahan, kebebasan mahupun kecekapan yang terdapat di mana-mana negara lain tidak didambakan semua.
Terdapat banyak kajian dilakukan bagi mengukur tahap pencapaian sesuatu negara – kesemua diguna menghasilkan tanda menunjukkan tahap pencapaian.
Terkini, tumpuan pengamal bidang demografi terarah kepada kajian Indeks Kualiti Kerakyatan (Quality of Nationality Index – QNI) Kaelin dan Kochenov untuk tahun 2019.
Perancis muncul nombor satu buat kali kelapan berturut-turut, dengan tahap pencapaian pada para 83.5 dari 100 mengatasi Belanda dan Jerman yang berkongsi tempat kedua.
QNI Kaelin dan Kochenov mengukur beberapa ciri termasuk kebebasan berpindah (freedom to travel and settle), keamanan, kestabilan, kekukuhan ekonomi dan pembangunan insan.
Indeks QNI diwujudkan oleh Profesor Undang-Undang Bersama Dr Christian Kaelin bertujuan mendedahkan kesaksamaan yang tidak wujud dan berbeza-beza antara kerakyatan negara-negara di dunia.
Indeks ini banyak diguna sebagai rujukan bagi tujuan pergerakan tenaga kerja profesional merentas sempadan.
Negara dalam Kesatuan Eropah (European Union – EU) mendominasi tempat teratas kajian Kalin dan Kochenov bertepatan dengan kemudahan dan kebebasan berhijrah merentas sempadan yang liberal sesama jiran. Ini ditambah pula tahap dan kualiti yang sedia dikecapi oleh mereka yang memegang kerakyatan negara negara tersebut.
Denmark dan Norway muncul di tempat ketiga, diikuti Sweden, Iceland, Finland, Italy, United Kingdom, Ireland dan Sepanyol.
(United Kingdom bakal jatuh hingga ke tangga sekitar 50 sekiranya Brexit yang tidak teratur berlaku.)
Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump berada di tempat ke-25 (70%), bukti bahawa usaha membina `tembok’ memisahkan negeri negeri Selatan dengan Mexico tidak digemari dunia luar.
China pula berada di tempat ke-56 manakala Rusia di tempat ke-63.
Antara negara ASEAN, Singapura berada di tempat ke-35, Malaysia (43); Brunei (45), Thailand (101), Indonesia (107), Filipina (125), Vietnam (132), Laos (139), Kampuchea (145) Myanmar (152) dan
tercorot – Sudan Selatan (157 – 15.9%), Afghanistan (158 - 15.4%) dan Somalia (159 - 13.8%).