'Hujan duit' buat warga kota berkerumun, berebut wang kertas

Agensi
Mac 4, 2018 19:44 MYT
Imej dsri video yang ditularkan berikutan kejadian tabur duit dari atas gondola kren di Kuningan, Jakarta. - Instagram: @jktinfo
Bagaimanakah situasinya jika wang kertas sengaja ditaburkan di tempat awam untuk direbut orang ramai?
Itulah yang terjadi beberapa hari lalu di sebuah jalan di ibu negara Indonesia.
Sehingga kini, netizen republik itu masih lagi bercakap tentang kejadian tersebut yang telah mencetuskan kekecohan di Jalan Rasuna Said, Kuningan, Jakarta Selatan.
Peristiwa yang berlangsung pada Rabu lalu sekitar jam 12.30 tengah hari waktu tempatan itu telah membuatkan warga kota yang kebetulan berada di lokasi berkenaan berkerumun dan menjerit-jerit untuk merebut ‘hujan duit’.
Menerusi video yang ditularkan dalam media sosial, dua orang petugas yang menaiki gondola kren di lihat menaburkan wang kertas berupa not 2,000 hingga 10,000 Rupiah dari ketinggian beberapa meter.
Difahamkan, ia sebenarnya adalah salah satu gimik dan promosi pemasaran sebuah perniagaan yang berkaitan dengan platfrom penstriman langsung.
Akaun Instagram @jktinfo turut memuat naik video berkenaan dengan kapsyen yang menjelaskan bahawa ‘hujan duit’ itu berlangsung selama 3 hari bermula 28 Februari.
Sepanjang gimik tersebut berlangsung, pelbagai ragam warga kota dapat dilihat. Antaranya adalah yang datang bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menyambut wang yang berterbangan di udara.
Kelihatan juga orang awam yang mengutip wang tersebut di atas tanah, manakala ada yang lebih kreatif menggunakan peralatan ‘bantuan;’ seperti payung yang diterbalikkan untuk mengumpul seberapa banyak wang kertas.
Suasana jalan bertambah kecoh apabila pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan masing-masing untuk menyaksikan situasi itu, sekali gus mencetuskan kesesakan yang lebih teruk.
Ramai juga penunggang motosikal, termasuk penunggang Go-Jek yang berjaket hijau, mengambil berhenti di tepi siar kaki berkenaan untuk menyertai ‘kegilaan’ tersebut.

Heboh hujan uang di kuningan: https://t.co/wJ66KWNlqp melalui @YouTube

— abdul rohman (@adoelrohman) March 1, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdapat desas-desus yang menyatakan aktiviti itu sepatutnya hendak dijalankan lebih daripada 3 hari namun pihak berkuasa terpaksa menarik balik permit acara tersebut kerana ia menimbulkan kekecohan di tempat awam, selain mengganggu kelancaran lalu lintas.
Sementara itu, ada netizen yang beranggapan agar lebih baik wang tersebut diberikan secara sistematik dan khusus kepada pihak yang lebih memerlukan.
#gimik #hujan duit #Indonesia #Jakarta #kuningan #pemasaran #perniagaan #promosi #wang kertas #warga kota
;