Hujan batu di Sepanyol ragut nyawa bayi 20 bulan, lebih 20 cedera
Astro Awani
September 1, 2022 11:30 MYT
September 1, 2022 11:30 MYT
CATALONIA: Hujan batu yang melanda perkampungan La Bisbal d’Emporda, wilayah Catalonia, Sepanyol meragut nyawa seorang bayii berusia 20 bulan.
Mangsa meninggal dunia akibat terkena ketulan ais yang bersaiz 11 sentimeter.
Fenomena luar biasa ini turut menyebabkan lebih 20 penduduk cedera.
Datuk Bandar, Carme Vall memberitahu media tempatan, bayi berkenaan berada bersama keluarganya ketika kejadian berlaku.
“Insiden angin kencang serta ketulan-ketulan ais yang jatuh kelmarin menyebabkan bayi malang itu meninggal dunia (Rabu),” katanya.
Vall turut menyifatkan hujan batu itu sebagai kemalangan terburuk yang berlaku di kawasan ini.
Beliau memberitahu, kejadian hujan batu yang membentuk ketulan ais bersaiz sekitar 11 sentimeter jatuh dalam tempoh 10 minit yang ‘menakutkan’.
Sementara itu, ribut hujan batu dijangka berterusan di wilayah itu berikutan gelombang panas yang melanda Laut Mediterranean.
Paparan video di media sosial yang tular sejak Rabu memaparkan hujan batu melanda wilayah itu.
Untuk rekod, ribut hujan batu yang berlaku kali ini adalah kejadian paling buruk pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun.