Hubungan sulit: Dua ahli kanan parti pembangkang Singapura letak jawatan

Agensi
Julai 19, 2023 17:47 MYT
Ahli Parlimen, Leon Perera (kiri) dan Presiden Sayap Pemuda Parti Pekerja, Nicole Seah telah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing. - Foto/Parti Pekerja
LANDSKAP politik Singapura dikejutkan dengan skandal luar nikah oleh dua ahli kanan parti pembangkang terbesar Singapura.
Hubungan sulit tersebut didedahkan oleh Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Pritam Singh susulan video memaparkan ahli kanan parti tersebut berpegangan tangan tular di media sosial pada awal minggu ini.
Susulan skandal tersebut, Singh berkata Ahli Parlimen, Leon Perera dan Presiden Sayap Pemuda WP, Nicole Seah telah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing.
Memetik laporan CNA, Singh menambah Perera dan Seah tidak bersikap jujur tentang hubungan sulit itu apabila kepimpinan parti mahu mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut pada awal tahun 2021.
Dakwa Singh lagi, hubungan sulit mereka bermula selepas Pilihan Raya Umum 2020 tetapi terhenti seketika waktu.
Bagaimanapun, ketika itu tiada bukti atau maklumat untuk menyokong dakwaaan berkenaan.
"Perlembagaan Parti Pekerja menghendaki calon bersikap jujur ​​dan berterus terang dalam urusan mereka dengan parti dan rakyat Singapura," kata Singh seperti dilapor CNA.
Pendedahan hubungan sulit tersebut merupakan skandal ketiga menggegarkan arena politik Singapura dalam masa seminggu.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Singapura ditahan berhubung siasatan rasuah, manakala dua penggubal undang-undang termasuk speaker dewan, meletakkan jawatan kerana skandal hubungan sulit.
#Skandal hubungan sulit #Parti Pekerja Singapura #berita luar negara
;