Hubungan semakin tegang, China siap sedia 'serang' AS
Astro Awani
September 23, 2018 12:11 MYT
September 23, 2018 12:11 MYT
Hubungan dua hala China-Amerika Syarikat (AS) semakin tegang selepas China menegaskan sedia untuk bertindak balas terhadap tindakan AS menyekat agensi ketenteraan China serta pengarahnya dari membeli pesawat pejuang Rusia dan sistem peluru berpandu.
Pada Ahad, China yang berang dengan tindakan AS itu memanggil Duta Besar AS ke China, Terry Brandstad, serta menangguhkan rundingan ketenteraan bersama.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan China berkata, AS tidak berhak masuk campur urusan pembelian senjata oleh China.
Selain itu, China turut memanggil pulang ketua tentera laut Jinlong dari lawatan di AS serta menangguhkan rancangan rundingan antara pegawai ketenteraan AS dan China yang dijadual berlangsung di Beijing minggu hadapan.
Jurucakap Kementerian, Wu Qian berkata, keputusan China membeli pesawat pejuang dan sistem peluru berpandu dari Rusia merupakan langkah biasa dalam kerjasama antara dua negara berdaulat.
Pada Khamis, Jabatan Negara AS mengenakan sekatan ke atas Jabatan Pembangunan Peralatan China (EED), cawangan yang bertanggungjawab membeli senjata, selepas ia melakukan transaksi besar bersama Rosoboronexport, pengeksport senjata Rusia.
Sekatan itu melibatkan pembelian 10 unit pesawat kombat SU-35 pada 2017 dan sistem peluru berpandu S-400 pada 2018.