Hubungan makin tegang, Korea Utara musnah jalan raya hubung ke Korea Selatan
Bernama
Oktober 15, 2024 16:20 MYT
Oktober 15, 2024 16:20 MYT
SEOUL: Korea Utara pada Selasa memusnahkan sebahagian jalan raya yang menghubungkan negara itu dengan Korea Selatan, susulan ikrar rejim itu untuk memutuskan hubungan jalan raya dan kereta api yang pernah dianggap sebagai simbol kerjasama antara kedua-dua negara.
"Korea Utara meletupkan sebahagian jalan Gyeongui dan Donghae di utara Garisan Pemisah Ketenteraan sekitar tengah hari," lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan.
JCS juga memaklumkan bahawa pihaknya meningkatkan tahap pemantauan dan kesiapsiagaan sebagai tindak balas terhadap tindakan itu.
Kedua-dua Korea dihubungkan oleh jalan raya dan kereta api sepanjang Laluan Gyeongui, yang menghubungkan bandar sempadan barat Korea Selatan, Paju, dengan Kaesong di Korea Utara, serta Laluan Donghae yang terletak di sepanjang pantai timur.
Langkah ini diambil ketika Korea Utara terus meningkatkan ketegangan dengan Korea Selatan dan menghapuskan sisa-sisa usaha penyatuan antara kedua-dua negara.
Akhir tahun lalu, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menggelar kedua-dua Korea sebagai "dua negara bermusuhan," dan sejak itu rejim itu mengambil langkah untuk memusnahkan laluan darat antara Korea.
Korea Utara juga menanggalkan lampu jalan, menanam periuk api di sepanjang bahagian negara di Laluan Gyeongui dan Donghae, serta menghantar tentera untuk membina halangan anti kereta kebal dan memperkukuhkan pagar kawat berduri di bahagian Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua Korea.
-- BERNAMA