Hubungan kukuh Tehran-Riyadh akan tingkatkan kerjasama serantau - Presiden Iran
Bernama
Oktober 24, 2023 00:34 MYT
Oktober 24, 2023 00:34 MYT
TEHRAN: Presiden Iran Ebrahim Raisi berkata promosi hubungan dua hala antara Iran dan Arab Saudi akan meningkatkan kerjasama serantau dengan berkesan dan membantu menyelesaikan masalah rantau itu, lapor Xinhua.
Beliau membuat kenyataan itu dalam pertemuan dengan Duta Arab Saudi ke Iran Abdullah bin Saud al-Anzi di Tehran, menurut satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang pejabat presiden Iran pada Selasa.
Raisi menyifatkan Iran dan Arab Saudi sebagai dua negara serantau yang utama dan penting, dengan menekankan usaha diplomatik untuk memperkukuh hubungan dua hala dan melindungi kepentingan serantau.
"Kurangnya perpaduan dalam kalangan negara Islam serta kegagalan mereka untuk bersatu dalam mempertahan orang awam Palestin dan menentang penindasan Israel selama beberapa dekad telah membawa kepada konflik yang berpanjangan," katanya.
Beliau turut menekankan mengenai pentingnya pertukaran kapasiti dalam kalangan negara Islam untuk memenuhi keperluan masing-masing dan mengelak kehadiran dan campur tangan pihak asing yang menjadi faktor yang merumitkan lagi isu di rantau ini.
Pada Mac lepas, Arab Saudi dan Iran mencapai perjanjian penting bagi menyambung semula hubungan diplomatik dan membuka semula kedutaan masing-masing.
Kemudian, pada 6 April, kedua-dua negara secara rasmi mengumumkan hubungan diplomatik disambung semula berkuat kuasa serta-merta.
Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada 2016.
-- BERNAMA