Hubungan keruh dengan negara Asia Barat dedahkan Turki pada ancaman

Harits Asyraf Hasnan
Januari 13, 2016 14:56 MYT
Gambar fail Sultanahmet Square yang diambil pada 8 Jan 2013, kawasan yang sama yang dikejutkan oleh satu serangan bom semalam. - Foto AFP/Bulent Kilic
Hubungan keruh antara Turki dan beberapa negara rantau Asia Barat mendedahkan negara itu kepada pelbagai ancaman.
Penganalisis Asia Barat, Maszlee Malik berpandangan, bukan hanya hubungan keruh dengan negara luar, malah beberapa musuh dalam sempadan Turki seperti Parti Buruh Kurdistan (PKK).
"Kita tahu bahawa ancaman terhadap Turki bukan hanya pada militan Daish (IS)... juga di peringkat dalaman turut terdapat golongan pengganas seperti PKK.
"Daripada luar pula kita melihat hubungan yang keruh diantara Turki dengan Rusia, Syria, Iran dan beberapa negara di rantau tersebut telah mendedahkan Turki kepada ancaman yang pelbagai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Justeru, jelas Maszlee, wujud kemungkinan beberapa siri serangan bom di Turki dilakukan oleh pertubuhan tertentu.
Selain itu, Maszlee turut mengakui faktor geografi di mana Turki yang bersempadanan dengan Syria menjadikan ia antara negara yang paling mudah diakses masuk oleh militan Daish yang merancang sesuatu.
"Turki merupakan pihak berkecuali terhadap apa yang berlaku dalam rantau tersebut. Itu tidak menjadikan mereka tidak melakukan apa-apa.
"Malah mereka yang paling dekat dengan tanah jajahan Daish, jadi sebarang serangan daripada pihak Daish itu tidak mustahil," katanya.
Dalam sidang media susulan serangan bom di Sultanahmet, Istanbul semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan jika ada pihak-pihak yang tidak diketahui sedang merancang untuk melumpuhkan Istanbul.
Malah, Erdogan juga merasakan ada pihak iri hati terhadap Turki yang mempergiatkan usaha menghapus militan Daish di negara itu.
Kerajaan Turki mengesyaki letupan di destinasi popular pelancong, Sultanahmet, semalam dilakukan oleh pengebom berani mati dari militan Daish.
Letupan yang meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan menyebabkan lebih 15 orang cedera itu berlaku berhampiran sebuah taman warisan purba Greek yang menempatkan tugu Obelisk.
BACA: Serangan di Istanbul: Apa yang diketahui setakat ini
#Asia Barat #Diplomatik #hubungan #Maszlee Malik #Parti Buruh Kurdistan (PKK) #Turki
;