Hubungan ekonomi dan perdagangan China dengan APEC terus dipergiat

Bernama
November 16, 2023 16:57 MYT
Jumlah dagangan antara China dengan anggota lain dalam APEC merekodkan AS$3.73 trilion pada tahun 2022, mewakili 59.7 peratus daripada jumlah perdagangan luar China. - Reuters
BEIJING: China terus mempergiat kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sehingga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Menurut statistik pihak berkuasa, jumlah dagangan antara China dengan anggota lain dalam APEC merekodkan AS$3.73 trilion pada tahun 2022, mewakili 59.7 peratus daripada jumlah perdagangan luar China.
Selain itu, lapan daripada 10 rakan dagang utama China adalah anggota APEC manakala China juga menjadi rakan dagang terbesar bagi 13 anggota organisasi itu.
Sementara itu, rantau APEC juga merupakan destinasi pelaburan penting bagi perusahaan China.
Menurut statistik, sebanyak 73.3 peratus pelaburan China ke seberang laut diperoleh anggota APEC.
Antara 10 destinasi pelaburan langsung terbesar China, lima terdiri anggota APEC.
Terdapat 15 anggota APEC merupakan rakan perdagangan bebas bagi China yang turut menjadi keutamaan negara ini dalam pelaksanaan strategi menaik taraf kawasan perdagangan bebas (FTA), peluasan jaringan perdagangan bebas dan pembinaan jaringan FTA bermutu tinggi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China mempergiat pembaharuan dan keterbukaan, aktif melibatkan diri dalam kerjasama Asia Pasifik, mendorong integrasi ekonomi Asia Pasifik dan menyumbangkan "pelan China" demi kemakmuran rantau itu.
Selain itu, China teguh memelihara mekanisme perdagangan pelbagai hala, giat memperkasakan integrasi ekonomi serantau, berusaha memudahkan pelaburan dan perdagangan serantau serta menganjurkan pelbagai inisiatif kerjasama yang membawa limpahan manfaat kepada rakyat serantau.
-- BERNAMA
#China #APEC #perdagangan #ekonomi
;