Hubungan dua hala dan ekonomi antara Malaysia dengan UAE terus berkembang
Bernama
September 19, 2023 23:51 MYT
September 19, 2023 23:51 MYT
NEW YORK: Hubungan dua hala dan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus berkembang dengan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara semakin meningkat.
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata UAE kekal sebagai rakan dagang dan pelabur asing terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Barat.
Menurutnya, dari Januari hingga April 2023, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 5.7 peratus daripada RM11.25 bilion (AS$2.67 bilion) kepada RM11.89 bilion (AS$2.70 billion).
"Angka pelaburan yang positif itu mencerminkan hubungan yang erat antara kedua-dua negara," katanya di sini.
Pada Isnin, Zambry bertemu dengan rakan sejawatnya dari UAE Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-78 yang berlangsung di sini.
Beliau berkata pelbagai isu telah dibincangkan termasuk Jawatankuasa Bersama antara Malaysia dan UAE serta mempercepat permeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) sebelum lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UAE.
Mengenai Persidangan Pihak-Pihak Konvensyen (COP28), UAE meminta sokongan Malaysia berkaitan pemeliharaan hutan bakau di bawah agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030), katanya.
"Insya-Allah, banyak perkara akan diumumkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke UAE pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Zambry juga turut bertemu dengan Menteri Luar dan Perdagangan Hungary Peter Szijjarto serta Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Rwanda, Vincent Biruta.
-- BERNAMA