Hubungan diplomatik Malaysia-Korea dinaik taraf kepada kerjasama strategik
Irfan Faruqi
November 25, 2024 12:50 MYT
November 25, 2024 12:50 MYT
SEOUL: Malaysia dan Republik Korea memuktamadkan naik taraf hubungan diplomatik kedua-dua negara daripada hubungan dua hala kepada kerjasama strategik.
Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol dalam ucapan pembukaan semasa pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk meluaskan bidang kerjasama dalam bidang industri pertahanan dan industri masa depan.
"Hari ini kita naik taraf hubungan dua negara kepada kerjasama strategik. Saya berbesar hati untuk meluaskan skop kerjasama melangkaui perdagangan, pelaburan dan pertukaran hubungan sesama rakyat, kepada (kerjasama) industri pertahanan dan industri masa depan termasuk hidrogen hijau dan mineral kritikal,” katanya.
Yoon juga menyatakan kesedian untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk menangani konflik global dan mencapai keamanan serantau serta dunia berdasarkan prinsip solidariti.
Dalam kenyataan balas oleh Perdana Menteri, Anwar menegaskan hubungan panjang yang sudah terbina antara Malaysia-Korea dan optimis untuk mempertingkat kerjasama antara kedua-dua negara.
“Korea Selatan sangat dikenali di Malaysia. Saya dari Pulau Pinang dan Jambatan Pulau Pinang dibina oleh (kepakaran) Korea Selatan. Di Kuala Lumpur kita ada Menara Berkembar PETRONAS dan Merdeka 118 yang juga dibina dengan kepakaran Korea Selatan.
“Semua pembinaan besar di Malaysia ada kaitan dengan hubungan rapat bersama Korea Selatan. Saya berterima kasih dan kita mahu teruskan hubungan ini dalam semua bidang,” ujarnya.
Malaysia dan Korea akan menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 2025.