Hubungan dengan EU: UK minta runding semula babitkan peraturan dagang

Astro Awani
Julai 22, 2021 08:39 MYT
David Frost (kiri) ketika mengiringi Boris Johnson menandatangani perjanjian perdagangan Brexit dengan EU di Downing Street, London, 30 Dis, 2020. - Gambar fail REUTERS
KETUA perunding Brexit United Kingdom (UK) mempertahankan rancangan kerajaan untuk mengadakan rundingan semula berhubung peraturan perdagangan pasca-Brexit.
Menurut David Frost, peraturan yang dikenali sebagai Protokol Ireland Utara itu memerlukan penulisan semula kerana ia melemahkan proses perdamaian dan mempengaruhi kehidupan rakyat di Ireland Utara.
Langkah berkenaan, ujarnya, akan meningkatkan lagi ketegangan dengan Kesatuan Eropah (EU).
Menurut Frost, rundingan semula adalah perjanjian yang normal dan peraturan itu perlu diperhalusi bagi mengelakkan proses damai di Ireland Utara terganggu.
"Kami harap EU akan luangkan masa untuk mengkajinya secara positif dan konstruktif dan terus bergerak ke hadapan bersama kami kerana ada ganjaran menanti.
"Anda tahu, hubungan UK-EU agak sukar pada masa ini, tetapi jika kita dapat meletakkan protokol di kedudukan yang lebih baik, kita dapat bergerak maju secara konstruktif bersama.
"Adalah satu kebiasaan mengubah perjanjian berdasarkan pengalaman, dan ia berlaku sepanjang masa. Jadi kami telah mengemukakan cara yang membina untuk merealisasikannya," katanya pada Rabu.
Sejak UK meninggalkan EU tahun lalu, hubungan bersama blok negara Eropah itu kian meruncing dengan adanya peraturan perdagangan dengan Ireland Utara yang mempunyai sempadan darat dengan blok 27 negara itu.
Perjanjian pemisahan UK daripada EU itu bermaksud, kastam dan pemeriksaan sempadan mesti dilakukan ke atas beberapa barangan yang bergerak antara Ireland Utara dan seluruh UK.
Namun, blok negara Eropah itu sebelum ini menyatakan kekecewaan terhadap apa yang dilihat sebagai kegagalan Britain melaksanakan perjanjian yang dimeterainya itu.
#United Kingdom #EU #Brexit #Britain #London #kastam #Boris Johnson #David Frost #Protokol Ireland Utara #tulis semula #sempadan #Kesatuan Eropah #Ireland Utara #runding semula #peraturan dagang #perdagangan #Peraturan
;