Hubungan China-ASEAN model kerjasama Asia Pasifik paling berjaya - PM China

Bernama
September 18, 2023 18:35 MYT
Li Qiang pada mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadiri Expo China - ASEAN (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) pada Ahad. - Foto Bernama
NANNING: Perdana Menteri China Li Qiang menyifatkan hubungan China-ASEAN sebagai model kerjasama Asia Pasifik paling berjaya dan dinamik, susulan hasil usaha bersama pelbagai pihak.
Li membuat kenyataan itu pada majlis perasmian Ekspo China-ASEAN ke-20 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN ke-20 di Nanning, Wilayah Autonomi Guangxi di selatan China pada Ahad.
"Empat perkataan yakni 'akrab, ikhlas, manfaat dan inklusif' merupakan lambang teras kepada hubungan itu. Ia bukan sekadar asas diplomasi kejiranan China, tetapi juga penting untuk mewujudkan masa depan yang lebih indah bagi semua pihak," kata beliau.
Beliau berkata China bersedia memperkasakan kerjasama dengan ASEAN dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan pertukaran dalam golongan belia untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat kedua-dua pihak.
Selain itu, China turut bersedia menjalankan kerjasama dan memupuk rasa saling percaya dalam pelbagai bidang dan berpegang kepada perjanjian yang tercapai.
"China bersedia untuk meningkatkan pengimportan produk yang lebih kompetitif dan bercirikan tempatan dari negara-negara ASEAN dan membina rantaian industri dan bekalan serantau yang lebih stabil dan lancar, meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi pembangunan negara-negara terlibat," tambah Li.
Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran kira-kira 1,200 pemimpin, pegawai, wakil industri dan perniagaan dari negara dan kawasan serantau yang termasuk Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, Timbalan Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand, Phumtham Wechayachai dan Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri China #Li Qiang #ASEAN #Anwar Ibrahim #Inisiatif Jalur dan Laluan
;