Hubungan bilateral China, Australia di landasan yang tepat - Presiden Xi Jinping
Bernama
November 7, 2023 21:24 MYT
November 7, 2023 21:24 MYT
BEIJING: Hubungan bilateral China dan Australia kini menuju ke landasan yang tepat, kata Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di sini pada Isnin.
"Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 lawatan bekas Perdana Menteri Australia Gough Whitlam ke China.
"Pada masa sekarang, anda juga memilih melawat China dan lawatan ini disifatkan berpandangan jauh dengan warisan legasinya diteruskan. Di bawah usaha bersama kedua-dua pihak, China dan Australia telah menyambung semula pertukaran dalam pelbagai bidang.
"China dan Australia harus mengikut arus zaman, memacukan perkembangan perkongsian strategik komprehensif China-Australia ke hadapan dengan berdasarkan kepentingan bersama kedua-dua negara.
"Kedua-dua negara turut menjalinkan hubungan dua hala yang sama rata serta kerjasama saling menguntungkan, di samping menebus persamaan dan raikan perbezaan," kata Xi.
Xi berkata China berpegang kepada strategi keterbukaan untuk mewujudkan situasi sama menang, menggalakkan pembentukan Paradigma Pembangunan Baharu dan merancakkan pembangunan secara komprehensif ke arah kemakmuran demi kebangkitan nusa dan bangsa melalui modenisasi ala China.
"Ini akan membawa peluang yang belum pernah wujud sebelum ini kepada pelbagai negara di dunia termasuk Australia.
"China dan Australia perlu menyemarakkan semangat hidup bersama secara damai bagi meningkatkan persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain serta mewujudkan pembangunan bersama dengan kerjasama saling menguntungkan.
"Kedua-dua pihak juga perlu menerokai potensi Perjanjian Perdagangan Bebas China-Australia, mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu yang melibatkan perubahan iklim dan ekonomi hijau.
"Selain itu kedua-dua pihak juga perlu memelihara sistem perdagangan bebas global dan serantau, serta menyediakan persekitaran perniagaan yang baik untuk pelaburan dan pengoperasian syarikat," kata Xi.
Sementara itu, Anthony Albanese berkata Australia dan China berkongsi kepentingan bersama yang luas dan dialog serta kerjasama merupakan pilihan yang tepat.
"Australia berpegang kepada pelaksanaan dasar Satu China dan bersedia bekerjasama dengan China untuk menggalakkan perkembangan hubungan dua hala yang stabil, meningkatkan pertukaran sektor ekonomi dan perdagangan serta kerjasama dalam sektor tenaga bersih dan perubahan iklim demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
"Australia bersedia untuk mengintensifkan komunikasi dengan China dalam hal ehwal serantau, termasuk Forum Kepulauan Pasifik," kata beliau.
-- BERNAMA
#hubungan bilateral
#China
#Australia
#Presiden China Xi Jinping
#Perdana Menteri Australia Anthony Albanese