Huawei pecat pekerja yang ditahan di Poland atas dakwaan pengintipan

Agensi
Januari 12, 2019 05:41 MYT
Logo Huawei pada satu papan tanda di sebuah bangunan komersial tempat syarikat itu beroperasi di Warsaw, Poland. - Foto Reuters/Kacper Pempel
Syarikat pengeluar perkakasan telekomunikasi China, Huawei, pada Sabtu berkata pihaknya sudah memecat serorang pekerjanya yang ditahan atas dakwaan melakukan pengintipan di Poland.
Reuters melaporkan, Huawei berhasrat untuk tidak campur tangan dalam insiden itu.
Pihak berkuasa Poland menahan Wang Weijing dan seorang bekas pegawai keselamatan Poland berkaitan insiden tersebut, yang dilihat mampu menegangkan lagi hubungan antara dunia Barat dengan Huawei dan juga kerajaan China.
Huawei dalam satu kenyataan berkata bahawa tindakan Wang ‘tiada kaitan dengan syarikat’.
Jurucakap perkhidmatan keselamatan Poland pula memberitahu, dakwaan tersebut dibuat atas tindakan seorang individu, dan bukannya dikaitkan dengan syarikat dari China tersebut.
Kedua-dua suspek itu masih disoal siasat dan dijangka ditahan selama tiga bulan.
Huawei, pengeluar perkakasan telekomunikasi terbesar dunia, berdepan kesulitan di Barat susulan sentimen dengan Beijing dan dakwaan Amerika Syarikat bahawa perkakasan Huawei boleh digunakan oleh China untuk tujuan mengintip.
Tiada bukti mengenai dakwaan tersebut telah didedahkan secara umum dan syarikat itu sudah berulang kali menafikan tuduhan itu, namun beberapa negara Barat sudah mengekang akses Huawei ke dalam pasaran mereka.
"Huawei mematuhi semua undang-undang dan peraturan di negara-negara ia beroperasi. Kami mewajibkan semua pekerja untuk turut patuh pada peraturan di negara mereka bekerja,” tambah kenyataan syarikat tersebut.
Di Warsaw, Menteri Dalam Negeri Poland Joachim Brudzinski, berkata Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) perlu bekerjasama untuk mempertimbang menolak Huawei dalam pasaran mereka.
#Beijing #Huawei #intip #keselamatan #pengintipan industri #poland
;