Htin Kyaw jadi Presiden Myanmar pertama dipilih dari kalangan orang awam

Agensi
Mac 15, 2016 15:09 MYT
kemenangan Htin Kyaw mencatat sejarah sebagai presiden pertama dari kalangan orang awam yang dipilih di Parlimen.
Parlimen Myanmar telah memilih Htin Kyaw sebagai Presiden baharu sekali gus beliau menjadi tokoh dari kalangan orang awam pertama memimpin negara itu selepas lebih 50 tahun diperintah tentera.
Htin Kyaw merupakan teman rapat ikon demokrasi Aung San Suu Kyi, yang memimpin Parti Demokrasi Liga Kebangsaan (NLDP). Pada November lalu, parti itu menang besar dalam pilihan raya bersejarah Myanmar.
Htin Kyaw mengalahkan seorang lagi calon NLDP dan juga seorang tokoh lain yang diketengahkan pihak tentera.
Suu Kyi dihalang daripada mengisi jawatan tertinggi itu kerana beberapa klausa dalam perlembagaan negara berkenaan, namun pernah menyatakan bahawa status dirinya adalah ‘di atas’ presiden.
Htin Kyaw meraih 360 daripada 652 undian.
Tempat kedua disandang oleh calon pihak tentera Myint Swe, yang mendapat 213 undi, diikuti calon NLD yang seorang lagi iaitu Henry Van Thio dengan 79 undi.
Mereka berdua akan menggalas jawatan Naib Presiden pertama dan kedua.
#Aung San Suu Kyi #calon presiden myanmar #htin kyaw #Htin Kyaw presiden Myanmar baru #pilihan raya Myanmar #Presiden baru Myanmar
;