HSR Jakarta-Bandung jadi contoh baik di Asia Tenggara - Setiausaha Agung ASEAN
Bernama
September 27, 2023 14:25 MYT
September 27, 2023 14:25 MYT
JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn berkata kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung bukan sahaja merupakan HSR pertama di Indonesia bahkan di Asia Tenggara dan menjadi contoh baik di rantau berkenaan.
Beliau berkata dengan adanya HSR Jakarta-Bandung para penumpang tempatan berpeluang menikmati perjalanan selesa dan mudah yang dibawakan oleh HSR China.
Projek itu sekali gus memaparkan manfaat kerjasama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) kepada negara-negara ASEAN.
Sementara itu, Kao turut menzahirkan harapan untuk meningkatkan kerjasama kesalinghubungan dengan China agar memberikan limpahan manfaat kepada rakyat serantau.
Atas undangan Duta China ke ASEAN Hou Yanqi dan Wakil Tetap Indonesia ke ASEAN Derry Aman, Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn, Naib Setiausaha Agung ASEAN, Ekkaphab Phanthavong, wakil-wakil tetap dari negara-negara anggota ASEAN serta duta dari beberapa negara rakan dialog ASEAN menaiki HSR Jakarta-Bandung pada 25 September.
Rombongan diplomat itu menaiki kereta api dari stesen Halim di Jakarta ke stesen Tegal Luar di Bandung.
Rombongan itu kemudian mengadakan lawatan di stesen Tegal Luar.
Petugas dari syarikat HSR China Indonesia memberikan taklimat tentang pembinaan dan pengoperasian HSR Jakarta-Banding dan mengadakan sesi soal jawab.
-- BERNAMA