Houthi lancar serangan ketiga, sasar kapal pemusnah AS

Agensi
Mac 18, 2025 12:35 MYT
Yahya Sarea, berkata kumpulan itu telah melancarkan serangan ketiga terhadap kapal induk pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Harry S. Truman. - Gambar/ Reuters
SANAA: Houthi telah melancarkan serangan ketiga terhadap kapal induk pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Harry S. Truman di Laut Merah.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen pada Selasa, berkata bahawa mereka telah menyasarkan sebuah kapal pemusnah AS.
Katanya, Houthi akan meneruskan serangan ke atas semua sasaran musuh di Laut Merah dan Laut Arab sehingga pencerobohan terhadap negara mereka berhenti.
"Dalam beberapa jam lalu, Angkatan Bersenjata Yaman telah berjaya menyasarkan kapal pengangkut pesawat AS USS Harry Truman di Laut Merah utara dengan dua peluru berpandu jelajah dan dua dron, serta menyasarkan kapal pemusnah AS dengan satu peluru berpandu jelajah dan empat dron.
"Sasaran kapal pengangkut pesawat ini adalah yang ketiga dalam tempoh 48 jam yang lalu," katanya.
Kumpulan Houthi Yaman yang disokong Iran sebelum ini berulang kali melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel dan kapal di laluan tertentu perkapalan antarabangsa di perairan berhampiran Yaman sejak November 2023, sebagai sokongan kepada rakyat Palestin dalam perang Israel dengan Hamas.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth pada Ahad memaklumkan AS berikrar akan terus menyerang kumpulan Houthi di Yaman sehingga mereka menamatkan serangan terhadap kapal dagang.
#Hamas #Israel #Laut Merah #Kumpulan Houthi
;