Hotel runtuh di China, 17 disahkan terkorban

Astro Awani
Julai 14, 2021 12:35 MYT
Sekurang-kurangnya 17 mangsa disahkan terkorban dalam insiden hotel runtuh di bandar Suzhou di timur China. -AP
SUZHOU: Sekurang-kurangnya 17 mangsa disahkan terkorban dalam insiden hotel runtuh di bandar Suzhou di timur China.
Selepas operasi mencari selama 36 jam, penyelamat menemukan 23 mangsa di bawah runtuhan, enam daripadanya masih hidup.
Siasatan awal mendapati runtuhan itu disebabkan oleh pengubahsuaian struktur bangunan oleh pemilik hotel tersebut, lapor Global Times.
Pemilik hotel itu didakwa sering melakukan pengubahsuaian pada premis berkenaan beberapa tahun kebelakangan.
"Bangunan ini asalnya hanya tiga tingkat, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan mereka tambah lagi beberapa tingkat," kata seorang penduduk kepada portal berita Red Star News.
Punca tragedi malang itu kini sedang disiasat.
Hotel Siji Kaiyuan di Suzhou runtuh pada Isnin petang jam 3.33 waktu tempatan.
BACA: Hotel runtuh di China: Lapan maut, sembilan lagi hilang
Pada mulanya dipercayai hanya 18 orang berada di hotel 54 bilik itu ketika ia runtuh, namun didapati ada lima tetamu yang tidak berdaftar turut berada di situ.
Daripada enam mangsa yang ditemui masih hidup, lima dilaporkan cedera namun berada dalam keadaan stabil.
Seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
#hotel runtuh #suzhou #Hotel Siji Kaiyuan #pasukan penyelamat #pengubahsuaian struktur bangunan #di bawah runtuhan #tetamu tidak berdaftar
;