Hotel beruang kutub utara di China dikecam

Astro Awani
Mac 16, 2021 10:49 MYT
Seekor beruang kutub utara di hotel yang baru dibuka di Harbin. - REUTERS
SEBUAH hotel di China yang dibina mengelilingi tapak kandang beruang kutub utara untuk dinikmati para pengunjung, menerima kecaman hebat daripada persatuan pencinta alam.
Setiap bilik di Harbin Polar Land yang terletak di utara China, menghadap kandang tersebut.
Para pengunjung juga diberitahu, beruang kutub utara berkenaan merupakan jiran mereka "24 jam sehari".
Rakaman video yang diambil tetamu hotel menunjukkan beruang berkenaan, yang kini terancam, ditempatkan dalam kandang dibawah sinaran lampu cerah dikelilingi batu dan isikel palsu dengan lantai yang dicat putih.
Persatuan hak asasi haiwan mengecam hotel berkenaan dan menggesa orang ramai untuk tidak mengunjungi pusat yang mengaut keuntungaan ke atas penderitaan haiwan.
"Beruang kutub utara perlu berada di Kutub Utara, bukan dalam zoo atau kotak kaca seperti akuarium dan tidak sama sekali dalam hotel," tegas Naib Presiden Persatuan Hak Asasi Haiwan (PETA) Asia, Jason Baker.
Harbin terkenal dengan pesta ukir ketulan ais dan hotel berkenaan menyerupai igloo gergasi. Atapnya pula dihiasi dengan ais tiruan.
Hotel berkenaan turut menerima kecaman daripada netizen di media sosial yang menyatakan hotel tersebut adalah penjara bagi beruang kutub utara itu.
Jurucakap Rangkaian Perlindungan Haiwan China yang tidak ingin dikenali memberitahu AFP, undang-undang perlindungan hidupan liar di China sangat longgar.
Sebelum ini kerajaan China mengharamkan pengambilan haiwan liar untuk dimakan selepas virus COVID-19 dikatakan berpunca daripada sebuah pasar yang menjual haiwan tersebut di Wuhan.
#Harbin Polar Land #China #hotel #beruang kutub #dikecam #kandang beruang #zoo #kutub utara
;