Hospital utama di Gaza hanya ada bekalan elektrik selama 24 jam sahaja lagi
Agensi
Oktober 20, 2023 10:00 MYT
Oktober 20, 2023 10:00 MYT
JERUSALEM: Pusat perubatan utama Gaza, Hospital Al-Shifa hanya mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi untuk menjalankan jenteranya selama 24 jam, kata doktor tanpa sempadan (MSF) pada Khamis.
"Tanpa bekalan elektrik, banyak pesakit akan meninggal," kata Guillemette Thomas, koordinator perubatan MSF untuk Palestin yang berpusat di Jerusalem.
Ribuan orang telah cedera di Gaza sejak 7 Oktober lalu akibat serangan udara Israel selepas serangan keganasan Hamas.
"Saya percaya bahawa pesakit-pesakit berada dalam bahaya dan berisiko meninggal dunia dalam beberapa jam akan datang, kerana semakin sukar untuk mendapatkan bantuan perubatan," kata Thomas.
Thomas turut memberi amaran pesakit di unit rawatan rapi, neonatologi dan mereka yang menggunakan mesin sokongan pernafasan berisiko tinggi.
"Pesakit-pesakit dengan penyakit kronik seperti diabetes dan kanser dan wanita hamil juga berisiko kerana kekurangan ubat secara umum," jelas Thomas.
Hospital Al Shifa - di mana MSF telah memberikan rawatan kepada pesakit yang melecur selama bertahun-tahun - merupakan salah sebuah pusat perubatan di Gaza yang masih mempunyai bekalan elektrik, selain turut merawat mangsa letupan hospital di Al Alhi Baptist pada Selasa lalu.
Ribuan rakyat Palestin turut berlindung di hospital Al-Shifa kerana mereka mencari kawasan yang selamat daripada pengeboman berterusan, kata Thomas.
Menurut MSF, adalah penting untuk hospital-hospital beroperasi semula dan genjatan senjata secara berkala mesti dijamin berlaku dalam usaha membawa bahan api dan ubat-ubatan ke pusat-pusat perubatan. - CNN