Hospital terbesar di Gaza lumpuh - WHO
Astro Awani
Disember 26, 2023 10:00 MYT
Disember 26, 2023 10:00 MYT
GAZA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melawat dan menghantar bekalan ke Hospital Al-Shifa serta tiga hospital lain di Gaza pada Sabtu.
Menurut WHO, Al-Shifa pernah menjadi hospital terbesar di Gaza, tetapi perang tanpa henti dan jumlah besar mangsa yang cedera mengakibatkan sistem kesihatan di hospital hampir lumpuh.
Penyelaras pasukan perubatan kecemasan WHO, Sean Casey menggambarkan kejadian itu sebagai sebuah tragedi.
"Saya kembali ke Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza untuk kali ketiga minggu ini, di mana ia masih menjadi kes kesengsaraan mutlak dengan orang masih di atas lantai, hampir mustahil untuk berjalan.
"Hampir tiada apa yang boleh dilakukan oleh pasukan klinikal yang sangat kecil ini untuk membantu semua orang ini. Ia benar-benar huru-hara," katanya.
Israel menafikan menyasarkan orang awam dalam operasi ketenteraannya di Gaza dan menuduh Hamas membina terowong dan infrastruktur ketenteraan di kawasan awam yang padat penduduk.
Israel telah mengepung Semenanjung Gaza dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.
Hamas yang mentadbir Gaza menganggarkan angka korban akibat serangan Israel kini melepasi angka 20,000 orang.
Ribuan lagi dipercayai mati di bawah runtuhan bangunan.