Hospital terbakar, 42 pesakit COVID-19 maut

Astro Awani
Julai 13, 2021 08:06 MYT
Angka kematian dijangka meningkat susulan usaha mencari dan menyelamat pesakit sedang giat dilaksanakan. - Foto AP
NASSIRIYA: Sekurang-kurangnya 42 orang maut dan 60 lagi cedera akibat kebakaran di wad rawatan COVID-19 di sebuah hospital di selatan Iraq pada Isnin.
Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Dhi Qar, kesemua yang meninggal dunia mengalami kecederaan parah akibat kebakaran di Hospital Al-Hussein di selatan bandar Nassiriya.
Wad yang baharu dibuka tiga bulan lalu itu mempunyai 70 katil.
Laporan awal menyebut letupan tangki gas oksigen sebagai punca kejadian tersebut.
Angka kematian dijangka meningkat susulan usaha mencari dan menyelamat pesakit sedang giat dilaksanakan.
Ini adalah kali kedua kebakaran besar membunuh pesakit COVID-19 di sebuah hospital Iraq tahun ini.
Pada April lalu, sekurang-kurangnya 82 orang terbunuh di Hospital Ibn al-Khateeb di Baghdad apabila tangki gas oksigen meletup dan mencetus kebakaran.
#COVID-19 #Hospital #terbakar #wad rawatan
;