Hospital tentera di Bangkok dibom, 24 orang cedera

Bernama
Mei 22, 2017 17:31 MYT
Pihak polis menemui sebahagian bahan bom seperti kabel dan wayar, tetapi belum dapat menentukan jenis bomnya, 22 Mei, 2017. - REUTERS
Pihak polis mengesahkan letupan yang berlaku di sebuah hospital yang dikendalikan pihak tentera di sini adalah disebabkan letupan bom, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Jen Srivara Rangsibrahmanakul hari ini.
Dalam kejadian 11 pagi waktu tempatan di Hospital Pramongkutklao itu, seramai 24 orang cedera akibat terkena serpihan dan kaca pecah.
"Pihak polis menemui sebahagian bahan bom seperti kabel dan wayar, tetapi belum dapat menentukan jenis bomnya," katanya kepada pemberita di hospital itu dan menambah anggota pemusnah bom masih mencari bahan bukti.
Srivara berkata pihak berkuasa masih menyiasat motif pengeboman dan tidak mahu membuat spekulasi bahawa kejadian mempunyai kaitan dengan ulang tahun ketiga rampasan kuasa pihak tentera ke atas kerajaan awam.
Pada hari ini tiga tahun lalu, Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) mengambil alih kuasa selepas rampasan kuasa dan membentuk kerajaan pimpinan tentera yang diketuai Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha.
#Bangkok #bom
;