Hospital Khas Kuwait di Rafah hadapi tekanan kendali lebih 1,000 pesakit sehari

Astro Awani
Disember 20, 2023 07:40 MYT
Tentera Israel menyerang sebuah bangunan kediaman berhampiran Hospital Khas Kuwait dan mencederakan sekurang-kurangnya 25 penduduk. - Foto X/Quds News Network
RAFAH: Hospital Khas Kuwait di Rafah menghadapi tekanan kerana bergelut mengendalikan kemasukan kira-kira 1,000 pesakit setiap hari.
Hospital itu terpaksa menghentikan kerja-kerja pembinaan apabila konflik antara Palestin dan Israel meningkat pada awal Oktober dan sejak itu ia telah dibanjiri dengan mangsa-mangsa kekejaman Israel.
Dengan kekurangan bekalan dan kemudahan untuk melakukan rawatan, hospital berkenaan bergelut memenuhi permintaan perubatan semasa.
"Sebelum konflik, kami pernah menerima kira-kira 100 pesakit setiap hari. Kini, kami menerima lebih 1,000 pesakit setiap hari. Ini bermakna kami memerlukan 10 kali ganda tenaga kerja.
"Bagaimanapun, jumlah kakitangan hospital kami hanya meningkat daripada 40 kepada 160. Dari angka ini, anda dapat melihat bahawa pekerja perubatan ini hampir tidak mempunyai masa untuk berehat.
"Pesakit kekal bersama, saling menjangkiti antara satu sama lain, membawa kepada penyebaran penyakit berjangkit," katanya.
Ssistem penjagaan perubatan dianggap lemah di Rafah, termasuk hanya dua hospital besar dan beberapa pusat perubatan kecil yang ada di bandar berkenaan bagi menyokong kira-kira 270,000 penduduk di wilayah itu yang turut menghadapi kekurangan air dan makanan.
Pusat-pusat perubatan kecil di Rafah tidak dilengkapi peralatan bagi menangani jenis kecederaan yang dialami dalam pertempuran perang di mana akhirnya memaksa beban dipindahkan ke hospital yang lebih besar termasuk Hospital Khusus Kuwait.
Puluhan ribu penduduk Gaza telah membanjiri bandar-bandar di selatan seperti Rafah, berikutan perintah Israel untuk mengosongkan kawasan yang dibom.
Ini telah menambah tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan yang sudah rapuh.
Hamas berkata bekalan bantuan perubatan jelas tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan minimum.
Hospital di Semenanjung Gaza memerlukan lebih banyak bekalan bantuan untuk menjaga mereka yang sakit dan cedera.
Dalam pada itu, Al Jazeera melaporkan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Rabu melancarkan serangan udara di Rafah, meranapkan sebuah bangunan kediaman berhampiran Hospital Khas Kuwait dan mencederakan sekurang-kurangnya 25 penduduk.
Saksi berkata kebanyakan yang cedera adalah wanita dan kanak-kanak dan mereka dihantar ke Hospital Khas Kuwait.
Laporan Al Jazeera menambah, setakat petang Rabu, serbuan udara itu telah membunuh sekurang-kurangnya 10 penduduk Gaza.
#Hospital Khas Kuwait #Israel #Gaza #serangan
;