Hospital juga tidak selamat di Gaza
Astro Awani
Februari 6, 2024 08:00 MYT
Februari 6, 2024 08:00 MYT
GAZA: Wanita, kanak-kanak dan warga tua adalah antara penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal, dilaporkan meninggalkan Hospital Al-Amal di Khan Younis pada Isnin.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), ini selepas hospital itu sekali lagi menjadi sasaran kejam serangan Israel.
Sebuah video yang dikeluarkan oleh PRCS menunjukkan puluhan orang membawa beberapa barang dan meninggalkan hospital itu dengan berjalan kaki.
PRCS berkata mereka adalah antara ratusan keluarga yang berpindah yang melarikan diri dari hospital tempat mereka berlindung daripada pengeboman Zionis.
Kebanyakan hospital di Gaza telah menghentikan fungsinya susulan kekurangan infrastruktur.
Operasi tidak dapat lagi diteruskan dengan ketiadaan ubat-ubatan dan peralatan yang mencukupi.
Sejak dua minggu lalu, kereta kebal Israel telah bergerak memasuki Khan Younis, bandar utama di selatan Gaza, yang telah menempatkan ratusan ribu orang selepas melarikan diri dari kawasan lain.
Pihak berkuasa Gaza berkata lebih 27,000 rakyat Palestin telah disahkan terbunuh dalam serangan Israel, dengan beribu-ribu lagi maut dikhuatiri tidak ditemui dalam runtuhan.